IPOH: Perak berjaya menurunkan kiraan Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin Tegar sebanyak 51 peratus dalam usaha negeri itu menoktahkan kemiskinan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, data seramai 9,402 KIR yang direkodkan pada Januari 2023 telah menurun kepada 4,819 orang setakat 18 November lalu.
Katanya, satu Bengkel Pelan Tindakan Menoktahkan Kemiskinan Negeri Perak telah dilaksanakan melibatkan 53 agensi berkaitan dengan menetapkan KIR Miskin Tegar pada Januari 2023 dan seterusnya pelbagai usaha bantuan dilakukan.
“Lebih 100 program kesejahteraan rakyat di seluruh Perak telah diadakan dalam menyantuni golongan sasar ini.
“Antaranya program taskforce mobile team, program keusahawanan, kursus-kursus Kemahiran, bantuan perniagaan, baik pulih, bina baru rumah dan bermacam-macam lagi dalam kita memastikan golongan sasar ini dibantu bagi mengeluarkan mereka terus dari kumpulan miskin tegar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Lukman Hakim Syed Mohd. Zin (Bersatu-Chenderoh) yang bertanyakan peranan kerajaan negeri bagi menyokong usaha Pusat untuk menoktahkan kemiskinan di Malaysia menjelang 2024 dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Kata Saarani, kerajaan negeri juga giat mengumpulkan nama dari setiap daerah yang tergolong kategori miskin tegar untuk dimohon penyertaan mereka ke dalam program di bawah Kementerian Ekonomi iaitu Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
Jelasnya, satu daripada inisiatif ditawarkan iaitu Basmi Miskin Tegar (BMT) dilihat sesuai untuk dipadankan kepada kelompok tersebut dengan peserta yang layak akan dibantu melalui projek penambahan pendapatan mengikut kemahuan dan minat mereka.
Tambahnya, peserta akan dipantau oleh Pegawai Lapangan IPR yang ditempatkan di setiap daerah bagi memastikan program berjaya.
“Bagi pelaksanaan projek rintis bagi program ini, ia telah mula menunjukkan hasil dimana terdapat di peserta yang telah mula berjaya keluar dari golongan miskin tegar ekasih dengan berjaya memperoleh pendapatan sebanyak RM3,000 maksimum sebulan, dimana pendapatan awalan minimum sebulan mereka sebelum ini hanyalah sebanyak RM500.
“Selain itu, pelbagai jenis bantuan yang telah mula diberikan kepada mereka ini juga telah menunjukkan bibit-bibit keberhasilan dengan menunjukkan pola peningkatan pendapatan mereka secara bulanan,” katanya. – UTUSAN