LEBIH satu tahun memeluk Islam, pelakon veteran, Margaret Gan mengakui pengalaman berjiran dengan ramai orang Melayu ketika membesar sebenarnya memberi kefahaman lebih awal tentang agama tersebut.
Berkongsi cerita, Margaret memaklumkan kefahaman tersebut sedikit sebanyak memudahkan dia mendalami dan belajar agama selepas bergelar saudara baharu.
“Saya membesar di Kampung Pasir Baru, berdekatan stesen kereta api Petaling yang mempunyai ramai penduduk Melayu. Ketika remaja, saya berkawan dengan orang Melayu. Sejak dulu, saya faham cara hidup Islam, maklum apa yang orang Islam boleh dan tak boleh buat.
“Selepas peluk Islam, saya belajar lebih banyak perkara tentang agama ini. Prosesnya, pada saya tidaklah terlalu sukar. Mungkin kerana kefahaman awal yang saya terima sebelum ini.
“Saya masih belajar, tapi saya bersyukur kerana prosesnya dipermudahkan Allah,” katanya.
Margaret memeluk Islam pada Februari 2022 ketika usianya mencecah 79 tahun. Keputusan itu dibuat atas kerelaan hatinya yang nama sebenarnya Gan Ee Kek.
“Anak saya, Mohd. Taufik Gan, 38, lebih dahulu memeluk Islam. Tapi dia tidak pernah sekali pun paksa saya masuk Islam. Keputusan yang saya ambil adalah atas kerelaan sendiri.
“Saya, sebelum masuk Islam, pernah terfikir tentang usia saya yang sudah lanjut. Saya pun hanya ada seorang anak. Kenapa tidak saya ikut langkahnya masuk Islam? Ajal boleh datang bila-bila masa,” kongsinya.
Margaret juga bersyukur, pada usia lapan dekad, dia berpeluang terbang ke Tanah Suci mengerjakan umrah.
“Saya berangkat pada Mei tahun ini. Pada awal memang saya berat hati untuk ke sana mengenangkan banyak perkara tentang ibadah termasuk umrah yang saya masih belum faham sepenuhnya.
“Atas pujukan pemilik sebuah agensi umrah yang berhasrat mahu membawa saya ke Tanah Suci, saya akhirnya bersetuju.
“Melihat Kaabah depan mata, melakukan tawaf mengelilinginya adalah pengalaman luar biasa,” ceritanya.
RUMAH TANPA BILIK
MARGARET dibesarkan dalam keluarga sederhana bersama sembilan adik beradik dan cukup akrab antara satu sama lain.
Kata Margaret, ayahnya satu-satunya dalam keluarga yang bekerja untuk menampung seluruh keluarga.
“Hidup kami sekadar cukup-cukup makan, tinggal di rumah kecil tidak berbilik, terpaksa tidur dalam bersempit-sempit.
“Pendapatan ayah saya hanya cukup-cukup untuk menampung seluruh keluarga. Jadi, sejak kecil, kami tidak hidup dalam kemewahan,” katanya.
Sebagai orang Cina, penguasaan bahasa Melayu Margaret boleh disifatkan sangat baik.
Katanya, perkara itu mungkin disebabkan dia pada zaman kanak-kanaknya, bersekolah di sekolah Melayu.
“Saya pernah belajar di Sekolah Melayu Petaling sebelum berpindah ke sekolah Inggeris. Di sekolah, saya berkawan dengan ramai orang Melayu, membuatkan penguasaan bahasa Melayu saya di tahap baik,” jelasnya.
GUNA CUTI UNTUK BERLAKON
PENGLIBATAN anak kelahiran Kuala Lumpur ini dalam dunia lakonan bermula bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekitar tahun 1970.
Tidak pernah bercita-cita, Margaret menganggap dunia lakonan sebagai bidang sampingan selain menjadi jurujual sepenuh masa untuk sebuah jenama kelengkapan rumah.
“Saya berumur 30 tahun ketika itu dan sudah berumah tangga. Bekerja pula sebagai jurujual. Lakonan cuma untuk pendapatan sampingan.
“Minat berlakon memang ada walaupun saya tak pernah bercita-cita menjadi pelakon. Bayaran berlakon ketika itu pun tidaklah tinggi seperti sekarang.
“Kalau ada tawaran (lakonan), saya tak tolak. Cuma saya terpaksa kumpul cuti sebagai juru jual dan guna untuk berlakon,” kongsinya.
Kata Margaret lagi, pengalaman bekerja sebagai jurujual membuatkan dia berani depan kamera.
“Saya tak ada asas berlakon, belajar pun menerusi pengalaman. Tapi saya tak menidakkan keberanian sebagai jurujual mengikis sikap malu dan membuatkan saya lancar mengucap dialog.
“Tanpa pendedahan itu, tak mungkin saya jadi pelakon kerana saya asalnya seorang yang sangat pemalu,” kata Margaret lagi.
ASAL ADA TAWARAN, GAJI, MEMADAI
LEBIH lima dekad menjadi pelakon, Margaret memaklumkan tidak pernah membawa watak selain seorang ibu atau nenek.
Namun, dia tidak sedikit pun berkecil hati, apatah lagi kecewa apabila kebolehan lakonannya bagai dipersiakan tanpa watak yang lebih berlainan dan mencabar.
“Dari mula saya melangkah ke dunia lakonan sampai sekarang, saya hanya diberikan watak emak atau sekarang, nenek.
“Tapi saya tak kecil hati. Pada saya, asal ada tawaran, dapat gaji, itu sudah memadai,” kongsinya.
Sambung Margaret, meskipun dahulu hanya menerima bayaran sekitar RM100 untuk satu-satu babak, dia tetap bersyukur dan seronok apabila diberi tawaran berlakon.
“Dulu semuanya sederhana, wardrobe disediakan. Tatarias tidaklah berlebihan. Cara belajar lakonan juga mencabar, skrip harus satu per satu dihafal.
“Tapi zaman itu menyeronokkan. Banyak pengalaman manis yang masih tersimpan sampai sekarang,” ujarnya.