KUALA LUMPUR : Pelakon, Syafie Naswip, 31, mengakui, sudah dua tahun mengenali isterinya, Nur Afiqah Ishak namun selesa memilih untuk merahsiakan hubungan tersebut atas sebab tertentu.
Kata pelakon ini, enggan mencanang hubungan kepada umum, dia hanya mahu perkara itu cuma diketahui oleh orang terdekat terutama yang selama ini sentiasa ada semasa susah senang bersamanya.
“Memang saya rahsiakan sebab rasa makin dewasa ini, saya cuma mahu agar orang terdekat dengan saya macam kawan rapat, keluarga dan yang ada susah senang dengan saya sahaja yang patut tahu,”katanya.
Berkongsi lanjut, kata Syafie, detik perkenalannya dengan Afiqah mula berputik sejak sama-sama terlibat di set penggambaran drama Cempaka Melati.
“Bagaimanapun, saya tidak terus bercinta kerana mahu kenal dulu dengannya. Selepas dua bulan habis ‘job’ saya ajak dia keluar dan daripada situ berkenalan lebih lanjut.
“Kemudian selepas tujuh bulan kenal, barulah kami ikat tali pertunangan. Majlis tunang juga saya rahsiakan dan cuma orang terdekat sahaja yang tahu,”katanya.
Ditanya mengenai soal zuriat, kata pelakon ini, dia dan isteri tidak kisah andai dikurniakan rejeki anak lambat atau cepat.
Baginya, semua itu diserahkan kepada Allah SWT dan kedua-duanya terima dengan hati terbuka.
“Kalau belum rezeki sekarang pun, tak mengapa. Kita enjoy sahaja kehidupan bersama. Saya juga nak ucap terima kasih kepada semua yang menyokong dan yang menonton ‘live’ di Instagram sebentar tadi.
“Walaupun saya tak dapat jemput semua orang ke majlis, tetapi sekurang-kurangnya mereka dapat tengok secara maya. Harap selepas ini masih sokong karya lakonan saya dan doakan kami kekal bahagia hingga jannah,”katanya.