PARIT: Dua lelaki maut akibat lemas selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka tergelincir dan terjatuh ke dalam tali air di Kampung Pulau Pisang, Bota Kiri di sini hari ini.
Mangsa yang maut ialah pemandu Toyota Hilux, Mior Hairul Adzaha Abdul Hamid, 39, dan penumpang hadapan kenderaan, Ahmad Hazim Baharuddin, 25.
Kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
Difahamkan, kemalangan dipercayai berlaku ketika kenderaan pacuan empat roda membawa muatan kelapa sawit itu hendak keluar dari ladang kelapa sawit di Kampung Pulau Pisang ke Kilometer 2, Jalan Bota Kiri-Tanjung Belanja.
Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan tersebut dipercayai tergelincir dan jatuh ke dalam tali air di kiri jalan lalu tenggelam.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit, Asmahisham Ab. Aziz berkata, sepasukan anggota diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 11.37 pagi.
Katanya, setibanya di lokasi, didapati sebuah kenderaan berada di dalam tali air akibat terbabas dengan terdapat dua mangsa di dalamnya.
“Pegawai operasi segera membuat penilaian risiko di lokasi kejadian bagi memastikan tiada kemerbahayaan sebelum anggota diarahkan memakai pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) untuk membantu mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan.
“Kedua-dua mangsa yang tidak tersepit itu berjaya dibawa keluar dan diangkat ke tebing. Jasad kedua-dua mereka diserahkan kepada pihak ambulans dan polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN