Dua graduan UPNM kematian ayah, terima Anugerah

Dua graduan UPNM kematian ayah, terima Anugerah Pelajaran Diraja

Penerima Anugerah Diraja - Putri Mahani Sunardi, Sarjana Muda Pengurusan Pertahanan dan Keselamatan Pertahanan & Muhammad Farhan Ismail, Sarjana Muda Sains Sosial, Bahasa dan Komunikasi Silang Budaya
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua graduan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menerima Anugerah Pelajar Diraja pada Istiadat Konvokesyen Ke-13 UPNM, di sini baru-baru ini.

Menurut Putri Mahani Sunardi, 22, cabaran utama sebelum menerima anugerah itu adalah dari segi kewangan ekoran kehilangan arwah ayahnya.

“Ibu saya adalah satu-satunya tulang punggung dan orang yang kami (adik-beradik) harapkan. Dia seorang ibu tunggal yang menyara kami selepas lapan tahun pemergian ayah mengambil tugas sebagai tulang punggung keluarga kami.

“Tidak lupa jaga kakak-kakak saya yang jadi sumber kekuatan dari segi emosi dan mental,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, ibu beliau menjadi pendorong dan kekuatan untuk beliau menamatkan pengajian selain kawan seperjuangan dan para pensyarah apabila pemergian ayahnya memberi kesan yang besar dalam hidup empat wanita tersebut.

Mahani merupakan anak bungsu dari tiga adik beradik yang berasal dari Johor Bahru, Johor yang mana arwah ayah beliau merupakan seorang kontraktor manakala ibunya sebagai suri rumah.

Beliau yang mengikuti kursus pengajian Sarjana Muda Pengurusan Pertahanan dan Keselamatan Pertahanan di Fakulti Pengajian dan Pengurusan berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Semester (PNGK), 3.77 (Kelas Pertama).

Selain pencapaian akademik, Mahani juga aktif dalam program seperti Ikon Siswa Pelajar, Bicara Kepimpinan Patriotik Mahasiswa dan Karnival Sukan Inter Fakulti.

Sementara itu, Muhammad Farhan Ismail, 22, antara cabaran untuk memperoleh ijazah adalah mempunyai latar belakang keluarga yang susah.

“Alhamdulillah, hasil didikan ibu, saya sebagai anak sulung dapat jejak ke menara gading dan menamatkan pengajian di peringkat sarjana muda.

“Saya dedikasikan segala kejayaan saya tidak kira dalam dunia pendidikan atau sebagainya kepada ibu saya dan juga arwah ayah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, ibunya yang merupakan seorang ibu tunggal berjaya menyara beliau dan adik-beradik walaupun tidak menerima sebarang bantuan dan dalam kalangan keluarga B40.
“Kita tidak memerlukan latar belakang keluarga yang hebat untuk berjaya, tidak semestinya. Pada hari ini saya buktikan,” ujarnya.

Farhan merupakan anak sulung daripada lima adik beradik yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang yang mana arwah ayahnya merupakan pengusaha kedai runcit telah meninggal dunia akibat penyakit leukemia tahap empat manakala ibunya bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak.

Beliau merupakan graduan Sarjana Muda Sains Sosial, Bahasa dan Komunikasi Silang Budaya dari Fakulti Pusat yang berjaya memperoleh PNGK 3.73 (Kelas Pertama) pada semester 1,2,3 dan 6.

Selain itu, beliau juga aktif dalam program di universiti dengan melibatkan diri dalam Kelab Peers Leaders UPNM, Perwakilan Pembimbing Rakan Siswa Kebangsaan, dan Persatuan Mahasiswa Bahasa Komunikasi.

Beliau juga memenangi Anugerah Mahasiswa Terbaik sempena Hari Inovasi dan Majlis Anugerah UPNM 2023, Anugerah Pingat Emas Kepimpinan Majlis Kaunseling Universiti Awam Malaysia (MAKUMA) 2023, dan Anugerah Khas Impak Sosial KPT 2022.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya