PETALING JAYA : Maklumat yang diperoleh polis berhubung pembunuhan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin agak terhad sekali gus menyukarkan apa-apa tangkapan dilakukan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan dimulakan pihak polis sejak semalam dan masih meneruskan siasatan dengan mengambil kira pembunuhan kanak-kanak ini satu kes yang bukan ‘straight forward’.
Kata beliau, pihak polis memberi jaminan akan memberi yang terbaik dalam mengesan mereka yang terlibat dan bawa ke muka pengadilan.
“Ketika ini, ada dua fasa siasatan iaitu pertama dengan mengumpul keterangan fizikal di sekitar lokasi kejadian.
“Kedua dengan pemeriksaan rumah ke rumah di 18 blok penempatan yang ada di apartment ini. Pagi ini kita memeriksa tiga blok dan kita akan teruskan malam ini dan hari seterusnya,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian, di sini malam ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, pihaknya juga sudah menghantar barang kes yang diperoleh sewaktu bedah siasat termasuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan cap jari dipercayai milik suspek ke Jabatan Kimia Malaysia untuk memperoleh beberapa maklumat forensik.
“Kita berharap, keputusan yang kita peroleh dua atau tiga hari ini adalah keputusan yang membantu kita mendapatkan maklumat yang menjurus ke arah mereka yang terbabit,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan kepada ibu bapa perlu mengambil tanggungjawab berat dalam menjaga anak mereka dari segi pengabaian, ditinggalkan berseorangan atau didedahkan dalam keadaan berbahaya.
“Ibu bapa perlu beri perhatian kepada anak-anak di mana sahaja mereka berada tidak kira di dalam atau di luar rumah supaya mereka tidak dibiarkan sehingga ditimpa kemalangan,” katanya.
Sementara itu, operasi mencari bahan bukti juga dihentikan pukul enam petang tadi berikutan cuaca hujan dan dijangka akan disambung esok. – UTUSAN