IPOH: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengajak semua pihak khususnya mereka yang ditukarkan jawatan dan kementerian melihat daripada sudut positif serta memberi nilai tambah sebaiknya atas pelantikan masing-masing.
Beliau yang dikekalkan portfolio berkata, setiap jawatan seperti menteri adalah berpegang kepada konsep ‘kita berkhidmat untuk kepentingan negara’, yang menjadi satu amanah, keisitimewaan dan juga tanggungjawab.
“Tugas menteri macam saya ialah kita tumpu kerja sebaik-baiknya. Kalau dikekalkan macam sekarang, alhamdulillah, perancangan yang kami buat maksudnya dirasakan ada nilai tambah kepada pentadbiran kerajaan. Kita akan teruskan.
“Kalau contohnya saya diminta untuk buat tugas lain, selalunya saya akan pilih untuk memandang yang positif, saya dilihat ada nilai tambah di tempat lain.
“Jadi kalau semua yang menjawat awam terutama ahli politik yang dipilih dan dilantik ini, pandangan saya anda perlu ada sikap sebegitu. Kerana kita ini berkhidmat untuk kepentingan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir ke pelancaran projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) – Inisiatif Usahawan Tani Wilayah Ekonomi Koridor Utara di sini hari ini.
Rombakan Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyaksikan Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib dikekalkan. – UTUSAN