DEWAN NEGARA: Penggunaan teknologi berkait produk getah

DEWAN NEGARA: Penggunaan teknologi berkait produk getah ‘kalis’ gempa bumi

FADILLAH Yusof semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini. -GAMBAR JABATAN PENERANGAN MALAYSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mewajibkan penggunaan produk berasaskan getah di semua peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi meningkatkan penggunaan getah tempatan. 

Timbalan Perdana Menteri juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan sedang menjalin kerjasama dengan agensi teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam aspek membolehkan penggunaan teknologi berhubung kait dengan getah.

“Contohnya seperti pembinaan bangunan terutama di kawasan berisiko tinggi yang mana diwajibkan untuk mengguna atau meletakkan piawaian supaya ia boleh tahan gempa bumi. 

“Jadi, sebahagian dari teknologinya ialah hasilan getah (produk galas getah seismik) seperti bearing, begitu juga dengan jalan getah sekarang ini memang digunakan. Tahun lepas, projek diluluskan dengan JKR untuk buat projek (jalan getah) termasuk jalan Parlimen juga menggunakan getah. 

“Walaupun hanya projek rintis, namun, nampaknya ia memberi hasil dan kita akan kembangkan dengan jaringan melalui agensi-agensi teknikal. Yang penting, kita tumpu pada bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) supaya dapat hasilkan produk lebih mesra pengguna,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan dalam sidang Dewan Negara hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya jika kerajaan bercadang mewajibkan penggunaan produk getah kepada semua PBT yang mampu meningkatkan penggunaan domestik atau penggunaan getah tempatan di negara ini.  

Hisamudin dalam soalan asalnya bertanya mengenai pelan tindakan kerajaan untuk menstabilkan harga getah yang mencengkam pekebun-pekebun kecil sejak sekian lama dan jika kerajaan berhasrat menaikkan harga getah bagi membantu pekebun kecil keluar dari paras kemiskinan. 

Dalam pada itu, Fadillah berkata, Malaysia tidak mampu mengawal harga getah di pasaran kerana tidak mempunyai suara majoriti untuk menentukannya.

Katanya, kerajaan mengambil maklum dan amat prihatin dengan cabaran ketidaktentuan harga getah pada masa kini.

“Intervensi daripada pihak kerajaan untuk penentuan atau kawalan harga adalah minimum memandangkan syer pengeluaran tahunan getah asli Malaysia adalah pada anggaran tiga peratus daripada pengeluaran getah dunia. Maka, negara tidak mampu mengawal harga getah,” katanya. 

Katanya, Malaysia bekerjasama dengan negara-negara pengeluar getah utama dunia di bawah kerangka International Tripartite Rubber Coucil (ITRC) dan The Association of Natural Rubber Producing Countries (ANRPC) dalam menstabilkan harga getah. 

Selain itu, katanya, pengenalan Mekanisme Harga Getah Untuk Kesinambungan Hidup Pekebun Kebun di peringkat antarabangsa adalah dalam peringkat cadangan bagi memberi manfaat kepada pekebun kecil. 

“Kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2024 bersetuju menaikkan kadar Paras Harga Pengaktifan (PHP) bagi Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dari RM2.70 ke RM3 sekilogram dengan peruntukan RM400 juta. 

“Kerajaan juga sedang giat melaksanakan mekanisme bagi meningkatkan pendapatan pekebun melalui peningkatan produktiviti dan penambahbaikan rangkaian bekalan getah serta urus niaga getah,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya