KLANG: Lebih 300,000 penduduk di sekitar Batu 14, Kapar di sini, dibelenggu derita menghidu asap busuk dari sebuah tapak pelupusan sampah haram di kawasan itu yang dibaratkan umpama ‘gunung’ sejak tiga tahun lalu.
Masalah pembakaran sampah sisa domestik itu dihadapi penduduk tujuh buah kampung antaranya Kampung Sungai Serdang, Kampung Batu 12, Kampung Tok Muda, Kampung Bukit Kerayong dan Bukit Kapar.
Pengerusi Badan Bertindak Kapar yang juga wakil penduduk, Rahim @ Rohkim Iska berkata, isu melibatkan tapak di tanah seluas 1.2 hektar itu mula memburuk sejak pandemik Covid-19 pada pertengahan 2020.
Jelas beliau, pembakaran sampah oleh pihak tidak bertanggungjawab itu berlaku hampir setiap hari terutama pada waktu malam hingga ke awal pagi.
“Ia bukan saja mengeluarkan asap malah berbau busuk hingga menyebabkan penduduk mengalami sesak nafas, loya dan muntah.
“Keadaan yang membahayakan kesihatan terutama kanak-kanak dan warga emas itu perlu diselesaikan segera bagi mengelak kehilangan nyawa,” katanya ketika ditemui di lokasi itu hari ini.
Terdahulu, beliau bersama 100 penduduk membuat bantahan aman dan menyerahkan memorandum mengenai isu itu kepada Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali.
Bagi Mohamad Mishan Md. Nor, 61, berkata, bau sisa sampah kira-kira 200 meter dari kediaman penduduk Kampung Sungai Serdang terlalu kuat hingga menyebabkan dia sukar bernafas.
“Bau busuk dan tengik seperti toksik itu mengakibatkan saya terpaksa mendapatkan rawatan di hospital sebanyak tujuh kali. Ia berikutan saya mengalami sesak nafas dan sukar untuk melelapkan mata sejak Jun 2021,” ujar datuk kepada seorang cucu itu.
Menurut Mohamad Mishan yang tinggal di Kampung Sungai Serdang itu, bau asap amat busuk dan tengik berlarutan hampir setiap hari terutama pada waktu malam hingga awal pagi.
“Bau toksik sangat kuat dan saya sendiri alami gejala sesak nafas hingga terpaksa mendapatkan rawatan hospital sebanyak tujuh kali. Saya mula alami masalah pernafasan sejak Jun 2021 dan kerap berulang-alik ke hospital akibat pencemaran bau ini,” ujarnya.
Penduduk Kampung Tok Muda, Sharuddin Mohammad, 57, pula berkata, pihak berwajib digesa memandang serius isu itu kerana melibatkan kesihatan awam.
“Masalah itu sudah banyak kali diajukan kepada pihak berkaitan namun masih tiada jalan penyelesaian sehingga kini. Kami mahu isu ini segera diselesaikan kerana tidak lagi sanggup menghidu bau busuk,” luahnya.
Sementara itu, Halimah berkata, pihaknya menggesa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mengambil tindakan tegas termasuk mewujudkan pasukan khas bagi menangani isu berkenaan yang berlarutan sejak sekian lama. – UTUSAN