SHAH ALAM: Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) masing-masing mengungguli empat piala dalam Pertandingan Debat Diraja Antara Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2023 Edisi Ke-24 di Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.
UM dinobatkan sebagai johan dalam kategori Bahasa Arab Utama dan Naib Johan Bahasa Inggeris Utama yang membawa pulang piala dan wang tunai sebanyak RM5,000 dan RM3,000.
Dua pendebat UM iaitu Ali Haydar Hadizi dan Wesley Pu Chern Hsiong pula diangkat sebagai Pendebat Akhir Terbaik Bahasa Arab Utama dan Pendebat Akhir Terbaik serta Pendebat Terbaik Keseluruhan Bahasa Inggeris Muda yang membawa pulang piala dan wang tunai RM500 bagi setiap kategori.
Sementara itu, UKM pula dinobatkan sebagai johan dalam kategori Bahasa Melayu Utama dan Bahasa Melayu Muda yang turut membawa pulang piala dan wang tunai sebanyak RM5,000.
UiTM pula mengungguli kategori Bahasa Inggeris Utama apabila dinobatkan sebagai johan sementara mahasiswanya Haikal Daniel diumum sebagai Pendebat Akhir Terbaik kategori itu dan seorang lagi, Muhammad Alif Izzudin Azmale diangkat sebagai Pendebat Terbaik Keseluruhan Bahasa Melayu Utama.
Kesemua hadiah tersebut disampaikan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang berkenan berangkat dan merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Debat Diraja Antara IPT 2023 Edisi Ke-24.
Dalam majlis tersebut, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, debat merupakan wacana yang melibatkan interaksi antara pihak berbeza pendapat yang menyampaikan hujahan masing-masing.
“Debat adalah suatu yang wajar dan mesti dibudayakan dalam masyarakat Malaysia, ke arah melahirkan generasi yang kritis dan kreatif yang seimbang dari dimensi ilmu dan akhlak, sesuai dengan hasrat yang dirangkum dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025.
“Debat juga menyuburkan budaya ilmu dan budaya wacana. Memetik kata-kata tokoh pemikir Muslim terkemuka dari Algeria, Malek Bennabi, the genuine social wealth is not the quantity of object possessed, but ideas.
“Oleh sebab yang demikian, Malek Bennabi menyimpulkan sesuatu bangsa yang ketandusan idea baharu dalam pembangunan nusanya akan mengalami ‘civilizational bankruptcy’,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.
Beliau menambah, ahli falsafah ulung Greek, Aristotle mengatakan dalam meyakinkan khalayak, terdapat tiga aspek pemujukan iaitu ‘ethos’ bermaksud menciptakan kredibiliti dan menyerlahkan etika si pembicara; ‘pathos’, menyuburkan aspek emosi dan psikologi dalam kalangan pendengar dan yang paling utama, ‘logos’ iaitu pola penghujahan dan artikulasi idea.
“Debat bukan hanya, dan semata-mata ‘teknik’ kelancaran dan kepetahan berhujah, namun yang lebih utama adalah keupayaan mengartikulasi idea, wawasan dan wacana.
“Dalam dunia sebenar, debat adalah suatu wacana mengenai sesuatu topik, yang melibatkan interaksi dan dialog antara pihak yang berbeza pendapat, yang menyampaikan 10 hujahan masing-masing, dengan tujuan meyakinkan audien yang menyaksikan,” jelasnya.
Sebanyak 85 pasukan menyertai pertandingan tersebut yang mewakili 28 universiti awam dan swasta di seluruh negara bermula pada 17 November lalu yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi. – UTUSAN