KUALA LUMPUR: Seorang datuk mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap cucunya, Ogos lalu.
Mengikut pertuduhan, lelaki berusia 70 tahun itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu perempuannya berusia 15 tahun dengan menyentuh beberapa bahagian tubuh mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara pukul 6 pagi dan 9 malam, pertengahan Ogos lalu di kediamannya di Brickfields.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Seksyen 14(a) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta manakala hukuman tambahan berdasarkan Seksyen 16(1) memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh juga dihukum sebatan tidak kurang dua sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub mencadangkan ikat jamin RM30,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dia diberikan jumlah jaminan rendah dengan alasan tidak bekerja serta ditanggung oleh anaknya.
Hakim Siti Aminah Ghazali menetapkan jaminan sebanyak membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh agar tidak mengganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 Januari depan. – UTUSAN