ALOR SETAR: Dua tokoh mek mulung melahirkan kegembiraan sehingga menitiskan air mata apabila seni warisan yang diperjuangkan mereka sejak lima dekad lalu mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO).
Kamarusdin Debak, 68, dan rakan seperjuangannya, Ishak Man, 62, itu merupakan antara 11 delegasi Mek Mulung yang ke Kasane, Republik Botswana bagi mengadakan persembahan sebelum terpilih sebagai Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara yang Memerlukan Perlindungan Segera.
Menurut Kamarusdin selaku pemuzik dalam teater tradisional itu, beliau mewakili semua pihak yang terlibat dalam bidang itu berbesar hati apabila perjuangan mereka memartabatkan seni berkenaan akhirnya menerima pengiktirafan tersebut.
“Saya sudah berkecimpung dalam bidang ini sejak berusia 9 tahun dan pelbagai cabaran sudah kami lalui termasuk pada 2011 apabila Mek Mulung hampir terkubur kerana dipandang sepi.
“Namun banyak pihak membantu termasuk Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) dan terbaru, Mek Mulung sudah mendapat pengiktirafan UNESCO. Perasaan saya tidak boleh gambarkan bagaimana lagi,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini, semalam.
Mek Mulung yang merupakan teater tradisi warisan Kedah Tua telah berjaya disenaraikan di bawah kategori Senarai Pemuliharaan Warisan Budaya Tidak Ketara yang Memerlukan Perlindungan Segera oleh UNESCO, pada 5 Disember lalu.
Pada sesi penilaian ke-18 Jawatankuasa Antara Kerajaan bagi pemuliharaan itu, seni yang berakar umbi di desa Wang Tepus, Kubang Pasu itu antara enam warisan budaya yang diiktiraf berbanding keseluruhan 45 warisan yang disenaraikan di peringkat awal.
Sementara itu, dengan pengiktirafan di peringkat antarabangsa itu, Ishak pula berharap Mek Mulung akan terus dipersembahkan dan dihargai di seluruh dunia terutama untuk tontonan generasi akan datang.
“Ini sebenarnya kali pertama mek mulung pergi ke peringkat antarabangsa, melihat ia dipersembahkan di hadapan orang ramai dari seluruh dunia membuatkan saya sangat bangga,” tambahnya yang berkecimpung dalam bidang itu sejak berusia 11 tahun.
Ishak yang memegang watak pelawak dalam mek mulung itu berkata, pihaknya gembira apabila Mek Mulung kini sudah mempunyai pelapis hasil daripada kerjasama agensi terlibat.
“Generasi terawal mek mulung di Wang Tepus ini seramai 18 orang tetapi kini tinggal kami berdua sahaja. Tetapi Alhamdulillah melalui kerjasama dengan JKKN banyak pelapis baharu dilahirkan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah JKKN Kedah, Sabarina Masadi berkata, pihaknya merancang untuk terus menggerakkan teater tersebut pada masa hadapan untuk terus menghidupkan warisan kebudayaan itu.
“Antara inisiatif yang dirancang termasuk kerjasama erat dengan peminat teater Mek Mulung untuk menghasilkan modul yang boleh dijadikan rujukan. Kami juga akan mengadakan bengkel bagi mewujudkan kumpulan perantis dan menyediakan platform serta peluang kepada kumpulan ini untuk mengamalkan mek mulung,” katanya.-UTUSAN