Dari asnaf bergelar usahawan kepok kubur - Utusan Malaysia

Dari asnaf bergelar usahawan kepok kubur

PESERTA yang merupakan asnaf dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK) semasa menyertai kursus pembuatan kepok.-UTUSAN/HASIF IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA sangka bermula sebagai asnaf yang menerima bantuan zakat setiap bulan akhirnya mengubah nasib menjadi usahawan. 

Baharuddin Hassan, 55 atau lebih dikenali sebagai Pak Yop mengusahakan perniagaan tempahan pusara atau kepok kubur sejak 15 tahun lalu. 

Berkongsi pengalaman menceburkan diri dalam perniagaan ini, Baharuddin berkata, modal berniaga diperoleh selepas menerima bantuan Program Mikro Kredit Bersepadu atau dikenali sebagai Skim Hijrah Selangor bagi mengkomersialkan lagi perniagaan kepoknya. 

Katanya dengan bantuan modal sebanyak RM5,000 diperolehi beliau manfaatkan secara berhati-hati dan perlahan-lahan menghasilkan kepok kubur untuk tempahan secara kecil-kecilan. 

“Jumlah bantuan tidak besar, jadi saya perlu bijak manfaatkannya supaya dapat pusing modal,” katanya ditemui Utusan Malaysia di kediaman dan tempat perusahaannya di Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh. 

Bapa empat anak ini turut menerima bantuan zakat berupa peralatan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sehingga berjaya keluar daripada kepompong asnaf.

Baharuddin dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) disebabkan sebelah matanya tidak berfungsi. 

Beliau mengakui kehidupannya kini jauh berbeza dan tidak lagi bergelar asnaf. 

“Kini saya mampu menjana pendapatan sehingga puluhan ribu sebulan. 

“Semua hasil keberkatan dan keuntungan diperoleh, dimanfaatkan kepada orang ramai. 

“Antaranya saya menawarkan harga kepok yang jauh lebih rendah dari pasaran,” katanya. 

Berkongsi kisah, kata Baharuddin, sebelum menceburkan diri dalam pembuatan kepok, hidupnya memang sukar. 

“Hidup sebelum memiliki perusahaan sendiri penuh dengan rintangan dan ujian getir. 

“Sebelum buat kepok, saya pernah jual tapai di pasar malam. Bila nak komersialkan jualan itu, ada masalah lain pula. Bila terbantut, saya bawa diri. 

“Hidup jadi susah semula sebab tiada pekerjaan. Saya pernah mengutip barang terpakai dan dikitar semula untuk dijual. Sampai ke tahap itu sehingga saya terpaksa memohon bantuan zakat untuk menyara keluarga,” katanya berkongsi cerita. 

JIWA BESAR PAK YOP 

Dalam kerendahan diri, ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta, ada kekayaan jiwa. 

Pengalaman menjadi asnaf suatu ketika, turut mengajar Baharuddin untuk berbakti kepada individu lain. 

“Masa asnaf dulu, saya tetap ada rasa untuk menikmati keuntungan membantu menguruskan Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Jaras Fasa 1. 

“Saya turut menawarkan diskaun dan pengurangan harga tempahan pusara kepada golongan asnaf, OKU serta individu yang memerlukan berdasarkan kelayakan,” katanya. 

Malah, beliau juga masih meneruskan perkhidmatan kerja amal dengan menghadiahkan pusara kubur secara percuma kepada individu yang benar-benar dibelenggu kesusahan. 

Penglibatan dan pengalaman dalam seni warisan dimiliki Baharuddin turut menarik minat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK) menghantar enam asnaf negeri itu mengikuti kursus pembuatan pusara dan batu nisan bersamanya, Oktober lalu. 

Terkini, beliau meneruskan kerja amal dengan menyumbang sebuah pusara bagi salah seorang mangsa nahas pesawat yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, September lalu, iaitu Allahyaram Shaharul Amir Omar di Manjong, Perak. 

Baharuddin berkata, persaingan tidak ketara kerana tidak ramai pengusaha kepok di negara ini, sebaliknya cabaran menjurus kepada aspek pemasangan. 

“Ada tanah kubur jenis lembik dan mendap. Dalam situasi ini saya perlu tunggu tanah keras atau cara lain perlu menambah tanah lain. 

“Ada juga pasang kepok pada waktu malam dan terima tempahan sehingga Perak. 

“Pernah juga saya melalui pengalaman mistik apabila ‘waris’ si mati menghubungi dan memaklumkan untuk memasang kepok kubur tersebut. 

“Keesokan hari, saya suruh anak periksa nombor lot berkenaan dan mendapati memang wujud kubur tersebut. 

“Namun, yang peliknya kubur tersebut sudah terlalu lama dan tidak mempunyai pusara. Jadi, saya nekad pasang kepok pada kubur berkenaan dengan seikhlas hati sebab bila hubungi semula nombor itu memang tak dapat,” katanya. 

DIBANTU ANAK

Baharuddin dibantu dua anaknya, Irwanshah dan Aiman. Irwanshah,32, yang membantu dalam kerja-kerja pemasangan kepok berkata, beliau meminati pekerjaan ini atas dasar ingin membantu bapanya itu. 

Katanya, bapa pernah menghasilkan kerusi batu yang dibuat menggunakan simen fero sewaktu mula-mula mengusahakan perniagaan itu. 

“Lepas itu, kami mula mencari idea membuat kepok menggunakan simen yang sama. Asalnya, ayah hanya buat pusara arwah nenek menggunakan simen fero. 

“Seminggu selepas itu, ada individu berminat untuk membuat tempahan kerana melihat hasil yang cantik. Sejak itu, nama Pak Yop mula dikenali ramai,” katanya. 

Kepok kubur yang dihasilkan di kediaman keluarga itu mempunyai banyak pilihan seperti batu marble, granit dan terazo. 

Pelanggan bebas membuat pilihan berdasarkan contoh dan model pusara disediakan di premis berkenaan. 

Mengulas mengenai kos, katanya ia dihasilkan mengikut material dan ditawarkan pada harga bermula RM1,200 hingga RM5,000. 

“Bagaimanapun, harga ini tidak terpakai kepada golongan asnaf, OKU dan individu kurang berkemampuan. 

“Sehari kami dapat buat dua buah kepok kerana memiliki dua rangka (mole). Bermakna sebulan kami dapat hasilkan sebanyak 60 kepok. Ada pelanggan sanggup datang dari negeri lain semata-mata mahu menempah kepok di sini,” katanya. 

IKUT AYAH SEJAK KECIL 

AIMAN, 19, turut membantu membuat kepok ditempah pelanggan. 

Anak bongsu daripada empat beradik ini mula ‘bermain’ dengan simen sejak di bangku sekolah rendah lagi. 

Ketika itu, katanya, beliau kerap mengikuti ayahnya membuat kepok kubur dan secara tidak langsung terdedah dengan perusahaan itu. 

Walaupun masih di usia belasan remaja, tidak pernah sesekali dirinya merungut kerana perlu bekerja di hujung minggu bagi menyiapkan tempahan pelanggan. 

“Cabaran buat benda ini adalah daripada segi masa yang tidak menentu. Kadang-kadang, hari Ahad pun perlu bekerja untuk menyiapkan tempahan. 

“Selain belajar daripada ayah tentang cara pembuatan kepok, saya juga pernah menyertai kursus pembuatan kepok menggunakan jubin yang diajar oleh kawan rapat ayah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya