DAP berniat kata tiada orang Islam arif undang-undang syariah?

Adakah DAP berniat kata tiada orang Islam arif undang-undang syariah? – MCA 

NEOW CHOO SEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MCA menyelar DAP jika parti itu berniat mengatakan tiada orang Islam yang arif dalam perundangan syariah, sehingga sanggup mencadang supaya kerajaan melantik pakar dalam kalangan bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menggubal undang-undang Islam.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong turut mempersoal, sampai bila parti itu mahu menguji kesabaran dan mencabar sensitiviti kaum dan agama, yang hanya akan membawa lebih banyak musibah berbanding kebaikan.

Choo Seong berkata, DAP sepatutnya fokus terhadap usaha menambah baik urusan pentadbiran negara dan menjaga kebajikan rakyat.

“Apakah DAP mahu mengatakan bahawa tiada orang Islam yang arif dan bijak berhubung perundangan syariah?

“Adakah Ngeh (Koo Ham) tidak faham Perlembagaan Persekutuan di mana undang-undang syariah hanya terpakai kepada orang Islam?” soalnya dalam kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, katanya, DAP sepatutnya menunjukkan teladan baik dalam menjaga hati semua kaum serta mengutamakan semangat perpaduan seperti yang dilaksana Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Perpaduan negara yang terbina selama ini oleh kerajaan BN perlu dipertahan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

“Sudah-sudahlah bermain dengan isu sensitif. Jika ada perkara yang hendak dibangkitkan dan ikhlas, gunalah saluran yang betul secara tertutup. Tambahan pula DAP kini berada dalam Kabinet kerajaan,” katanya.

Koo Ham merupakan Ahli Parlimen Beruas sebelum ini mencadang supaya kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan awal bulan ini.

Beliau menjelaskan langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan dibuat pada undang-undang itu.

Beliau juga mengingatkan bahawa perlembagaan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan, justeru sebarang perubahan mesti dibincang secara menyeluruh untuk mengelakkan konflik.

Cadangan tersebut mengundang kecaman dan kritikan banyak pihak  daripada kedua-dua blok politik kerajaan dan pembangkang.

Pada Jumaat lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Koo Ham khilaf berkaitan punca kuasa jawatankuasa berkenaan dan parti itu sedar cadangan tersebut akan menimbulkan polemik kerana cuba mencampuri urusan agama Islam.

Sebelum ini, Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-undang Islam bertanggungjawab mengkaji isu-isu melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah, sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam supaya menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, Majlis Kebangsaan Hal- Ehwal Agama Islam (MKI) yang dipengerusikan baginda memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksana segala hal ehwal berkaitan umat Islam, serta dianggotai barisan pakai dalam pelbagai bidang, khususnya melibatkan undang-undang dan agama Islam.

Koo Ham semalam memohon maaf atas cadangannya itu atas alasan beliau langsung tidak berniat masuk campur dalam hal ehwal agama Islam dengan membuat cadangan itu.

“Saya menjangka proses ini akan melibatkan cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan. Cadangan saya adalah untuk memastikan bahawa semua pandangan diambil kira sebelum apa-apa cadangan pindaan di buat.

“Sehingga ia dijelaskan baru-baru ini, saya tidak mengetahui bahawa jawatankuasa khas tersebut sebenarnya telah dibentuk oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya