TANJUNG MALIM: Dakwaan mengatakan terdapat bilik penempatan banduan VIP (orang kenamaan) di Penjara Sungai Buloh mahupun mana-mana penjara di seluruh negara adalah tidak benar.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dakwaan tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu itu dilihat sebagai cubaan untuk menjejaskan reputasi Jabatan Penjara.
“Sepanjang setahun saya duduk di KDN (Kementerian Dalam Negeri), mengenali institusi penjara dan melakukan lawatan di sebahagian besar penjara di seluruh negara, tiada pun saya temui ruang VIP untuk mana-mana penghuni.
“Saya mengikuti perjalanan pentadbiran dan pengurusan sistem penjara, saya masuk sendiri dan lihat. Kalau ada dakwaan mengatakan ada ruang VIP, itu tidak benar,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Stesen Parol Daerah (SPD) Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Kompleks Mini KDN di Slim River di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, individu yang membuat dakwaan berkaitan bilik VIP penjara itu diminta menghentikan segera penyebaran maklumat palsu tersebut.
Jelasnya, sekiranya dakwaan itu benar, individu berkenaan perlulah tampil bersama bukti.
“Biasalah orang buat dakwaan, kalau setakat tulis dengan tujuan menjejaskan reputasi Jabatan Penjara, kita memang tolak sekeras-kerasnya,” katanya.
Terdahulu, seorang bekas banduan Penjara Sungai Buloh dikenali sebagai ‘Abang Mat’ dalam satu wawancara telah mengulas mengenai keadaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjalani hukuman di penjara tersebut pada 2015.
Antara dakwaan lelaki itu ialah terdapat ‘blok VIP’ di penjara untuk ahli politik dan Anwar pernah memintanya untuk membersihkan bilik berkenaan selain melihat Ahli Parlimen Tambun itu berjoging dengan hanya memakai seluar pendek.
Wawancara dibuat individu berkenaan disiarkan menerusi rakaman video berdurasi satu jam 20 minit yang dimuat naik di akaun Youtube ‘Cili Kasi Taruk’ pada 3 Disember lalu. – UTUSAN