Daim nafi enggan dedah butiran kewangan 

Daim nafi enggan dedah butiran kewangan 

TUN DAIM ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menafikan dakwaan beliau enggan mendedahkan butiran kewangan yang dituntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Daim, beliau memberikan kerjasama sepenuhnya sejak awal dan kerap berkomunikasi dengan SPRM melalui peguamnya.

Justeru, beliau menegaskan, semua yang diminta secara bertulis oleh SPRM sudah didedahkan dan mengikut undang-undang.

“Sebagai bekas anggota kanan kerajaan dan kerana menghormati proses siasatan, saya berdiam diri sehingga kini.

“Bagaimanapun, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan SPRM tidak menunjukkan rasa hormat yang sama terhadap proses itu dengan berterusan mengeluarkan komen dan kenyataan tidak wajar, menyebabkan saya tiada pilihan selain bertindak balas demi menjaga reputasi dan nama baik saya,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Utusan Malaysia mendedahkan SPRM menyita bangunan Menara Ilham milik Daim bagi menyekat apa-apa tindakan menjual, memindah hak milik atau melupuskan bangunan tersebut secara keseluruhan atau mana-mana bahagian bangunan tersebut.

Sitaan dilakukan selepas satu siasatan telah dibuka berkaitan dengan pengambilalihan saham membabitkan dua syarikat tersenarai berjumlah RM2.34 bilion.

Nilai berkenaan membabitkan pengambilalihan saham Renong Berhad sebanyak 32.6 peratus ekuiti oleh UEM Group.

Mengulas lanjut, Daim berkata, Anwar dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mesti menghormati kedaulatan undang-undang dan proses serta bertindak sewajarnya.

Menurutnya, beliau bimbang tentang keadilan dan integriti institusi yang mesti dilindungi semua kepentingan negara.

“Ia adalah demi kepentingan awam tertinggi bahawa proses penyiasatan dan pendakwaan tidak dicemari dan ‘ditumbangkan’ oleh berat sebelah, ketidakadilan atau motif politik.

“Ini akan menjejaskan setiap rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN