BATU PAHAT : Seorang lelaki yang mempunyai rekod masih dikehendaki polis kerana kesalahan dadah berjaya ditahan dalam rondaan cegah kemalangan petang semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, lelaki berusia 27 tahun bersama isterinya berumur 29 tahun di tahan di Jalan Muar-Yong Peng kira-kira pukul 6 petang.
Katanya, sebelum itu, kereta Proton Saga dipandu lelaki itu dilihat dalam keadaan mencurigakan selepas melihat kenderaan peronda polis menyebabkannya diarahkan berhenti di tepi jalan hadapan sebuah kilang di Sri Medan dekat sini.
“Bagaimana pun, pasangan suami isteri itu telah melarikan diri ketika pemeriksaan ingin dilakukan namun berjaya ditahan oleh pasukan bantuan dari Balai Polis Sri Medan.
“Hasil pemeriksaan keatas suspek, polis telah menemui satu paket lutsinar didalamnya berisi bahan dipercayai ganja dan satu paket lutsinar bahan disyaki syabu dalam beg sandang yang dibawa,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Ismail lagi, pemeriksaan rekod kesalahan lampau mendapati suspek lelaki adalah individu yang dikehendaki polis berkaitan kesalahan jenayah dadah sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat untuk tindakan selanjutnya.
Ujarnya, ujian saringan air kencing turut mendapati pasangan suami isteri berkenaan positif dadah jenis Methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen Sek 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(2) akta yang sama,”katanya. –UTUSAN