BAGAN DATUK: Cubaan 60 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia pulang ke negara asal menggunakan jalan laut tidak kesampaian apabila diberkas pihak berkuasa hari ini.
Kesemua PATI membabitkan 40 lelaki dan 20 wanita berusia antara 20 hingga 64 tahun itu ditahan ketika bersembunyi di kawasan kebun kelapa sawit dekat Bagan Sungai Tiang, Selekoh di sini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai sebuah bot terkandas dan dalam keadaan mencurigakan di perairan Bagan Sungai Tiang pada pukul 3.45 pagi.
Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, Balai Polis Rungkup, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor dan Pasukan Polis Marin Kampung Acheh diatur gerak ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan
“Pemeriksaan ke atas bot itu mendapati ia telah pun dikosongkan. Pemeriksaan lanjut di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran kemudian berjaya menemukan 60 individu dipercayai warga Indonesia.
“Tangkapan juga dilakukan terhadap dua lelaki warga tempatan berusia 38 dan 63 tahun yang disyaki memandu kenderaan untuk membawa migran tersebut pulang ke Indonesia,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan, bot berkenaan dalam perjalanan ke Tanjung Balai, Indonesia namun terkandas akibat kerosakan enjin.
“Kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke IPD Hilir Perak untuk siasatan lanjut dibawa Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – UTUSAN