KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berhubung penularan Covid-19 di negara ini.
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, hal ini bagi mengimbangi keadaan sektor-sektor terlibat khususnya pelancongan supaya ia dapat berjalan seperti biasa selain mengambil langkah berjaga-jaga.
Sebelum ini, katanya, beberapa pengendali pelancongan asing membatalkan jadual perjalanan ke Malaysia berikutan kebimbangan peningkatan wabak berkenaan.
“Demi mengimbangi pemulihan pelancongan dan ekonomi negara, saya menggesa KKM supaya lebih berhati-hati apabila memberi maklumat mengenai Covid-19 agar ia tidak menimbulkan ketakutan yang tidak perlu dan meresahkan orang ramai.
“Tidak dinafikan bahawa Covid-19 merupakan isu kesihatan awam yang penting dan tidak boleh ‘disorok bawah karpet’. Namun, kita juga tidak seharusnya bertindak secara berlebih-lebihan sehingga menyebabkan keadaan menjadi bertambah buruk.
“Penting untuk kita mengelakkan daripada menimbulkan ketakutan dan mewujudkan persepsi negatif terhadap Malaysia terutamanya sektor pelancongan sekali gus merugikan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
King Sing dalam masa sama turut membuat perbandingan Malaysia dengan negara lain mengenai cara menangani wabak Covid-19 sambil memelihara kepentingan sektor lain selain berharap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mengambil perhatian sewajarnya untuk membuat penilaian dalam perkara ini.
Berikutan itu, beliau menegaskan perkara ini akan dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk mencari penyelesaian seimbang dalam memastikan wabak Covid-19 terkawal dan dalam masa yang sama sektor pelancongan tidak terjejas.
“Contohnya, pengumuman mengenai situasi dalam negara oleh Menteri Kesihatan kita hampir sama dengan kenyataan oleh Menteri Kesihatan Indonesia. Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Indonesia menegaskan bahawa situasi untuk musim perayaan Krismas dan Tahun Baharu akan datang tidak terlalu membimbangkan, berbeza dengan pengumuman di Malaysia yang dilihat mencetuskan rasa resah orang ramai.
“Perbandingan kenyataan menteri kesihatan kedua-dua negara dengan mudah menimbulkan tanggapan seolah-olah Malaysia jauh lebih berbahaya daripada Indonesia. Ini boleh menyebabkan pelancong mengelak daripada mengunjungi Malaysia dan memilih negara jiran Indonesia, seterusnya menyebabkan kerugian ekonomi kepada Malaysia.
“Tetapi sebenarnya, banyak tempat di seluruh dunia terjejas oleh gelombang terbaharu pandemik ini dengan lonjakan kes yang sepadan. Oleh itu, tidak perlu bertindak keterlaluan dan mengelirukan orang ramai bahawa wabak di Malaysia amat serius.
“Saya akan membangkitkan kebimbangan ini dalam mesyuarat Kabinet untuk mencari penyelesaian yang seimbang bagi memastikan keadaan wabak terkawal tanpa menjejaskan sektor pelancongan,” ujarnya.-UTUSAN