Covid-19 cabaran terbesar Noor Hisham - Utusan Malaysia

Covid-19 cabaran terbesar Noor Hisham

Covid-19
NOOR Hisham Abdullah dalam Siri Cakna Polisi anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) di UiTM Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mengendalikan pandemik Covid-19 setiap hari selama lebih setahun menjadi cabaran paling getir dihadapi bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah sepanjang 35 tahun berkhidmat dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, Kerajaan China pada November 2019 memaklumkan jangkitan daripada virus yang tidak pernah wujud sebelum ini.

“(Kemudian) WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) meminta semua negara membuat pengumuman sekiranya ada orang di negara mereka dijangkiti virus berkenaan.

“Menerusi genetic sequence (urutan genetik) yang diberikan pihak China, kita mengumpulkan 23 buah makmal milik kerajaan, universiti dan swasta melakukan kajian bagi mengesan virus tersebut,” katanya pada Siri Cakna Polisi anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di UiTM Shah Alam, semalam.

Tambah beliau, KKM turut melakukan persiapan awal seperti memperkemas sistem kesihatan awam supaya negara bersedia dijangkiti Covid-19 dan menutup pintu sempadan negara.

Bagaimanapun, Noor Hisham mendedahkan, penularan virus tersebut meledak pada Mac 2020, apabila sejumlah besar peserta sebuah perhimpunan di Sri Petaling dijangkiti virus tersebut.

“Pegawai kesihatan pergi ke lokasi perhimpunan itu namun semua peserta perhimpunan itu, yang sebahagiannya adalah rakyat luar negara telah pulang ke negara masing-masing.

“Jadi kita telah minta semua peserta itu dari kalangan warga Malaysia dan luar negara supaya segera melakukan ujian pengesanan untuk mengetahui sama ada mereka dijangkiti Covid-19 atau tidak,” ujarnya.

Jelasnya, apabila virus terus merebak, KKM memperkenalkan peraturan pencegahan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengawal pergerakan rakyat merentasi daerah dan negeri serta meminta bekerja dari rumah sebagai langkah awal mengurangkan kadar jangkitan.

“Kadar kematian pada awal pandemik amat tinggi sehingga bilik mayat di hospital awam tidak dapat menampung jumlah mayat yang begitu tinggi. Kita terpaksa menyewa kontena-kontena yang diletakkan di hospital-hospital awam di seluruh negara.

“Kerajaan juga pada ketika itu meningkatkan usaha untuk mendapatkan vaksin Covid-19 secepat mungkin supaya rakyat Malaysia dapat mendapat vaksin berkenaan,” ujarnya.

Katanya lagi, ketika ini, lebih 80 peratus rakyat negara ini sudah mengambil vaksin Covid-19, justeru negara ini dikatakan sudah mencapai imuniti kelompok.

Sementara itu, menjawab berhubung situasi semasa jangkitan Covid-19 yang kini kian meningkat di negara ini, Noor Hisham berkata, orang ramai tidak perlu bimbang dengan peningkatan tersebut kerana majoriti rakyat sudah divaksin.

“Sekiranya anda dijangkiti Covid-19, lakukan kuarantin kendiri di rumah selama lima hari dan jangan ke tempat awam. Virus Covid-19 kini berada di sekeliling kita. Jadi, perlu terima hakikat bahawa Covid-19 ada di sekeliling kita,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya