Clare Rewcastle, dua lagi perlu bayar RM300k kepada Sultanah Nur Zahirah

Clare Rewcastle, dua lagi perlu bayar RM300k kepada Sultanah Nur Zahirah

SULTANAH NUR ZAHIRAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, penerbit dan pencetak buku ‘The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose’ diperintahkan untuk membayar RM300,000 kepada Sultanah Nur Zahirah selepas didapati memfitnah Sultanah Terengganu itu dalam buku terbabit.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail dan bersidang bersama-sama Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azhahari Kamal Ramli sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes itu telah terkhilaf apabila membatalkan saman tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan Clare dan dua lagi untuk membayar kos sebanyak RM120,000.

Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman fitnah tersebut pada 21 November 2018 dengan menamakan Clare, penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn. Bhd. sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dalam pernyataan tuntutan, Sultanah Nur Zahirah mendakwa Clare membuat pernyataan yang yang antara lain menggambarkan baginda terlibat dalam amalan rasuah, mencampuri pentadbiran Terengganu selain menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) yang kemudian menjadi 1MDB.

Sultanah itu juga didakwa merupakan individu yang memperkenalkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum dilantik menjadi penasihat TIA.

Bagaimanapun pada 31 Oktober 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman tersebut atas alasan Clare dan dua lagi tidak memfitnah Sultanah Nur Zahirah dalam buku tersebut sebaliknya apa yang berlaku ialah salah identiti yang serius.

Ketika membaca penghakiman ringkas panel terbabit, Hakim Azhahari menyatakan, Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila menggunakan pakai maksud perkataan dalam kamus dalam membuat pertimbangannya dalam menentukan maksud yang mudah difahami oleh orang awam.

“Penggunaan maksud dalam kamus akan memberikan beban kepada plaintif (Sultanah Nur Zahirah) untuk membuktikan dakwaannya, Pada pendapat kami ini bukanlah satu cara yang sesuai untuk menentukan (elemen) maksud biasa dan boleh difahami (oleh orang awam).

“Kami juga telah membaca kenyataan yang dipertikaikan dan mengambil kira pengakuan defendan pertama (Clare Rewcastle) berhubung kesalahan identiti dan sikap orang awam pada waktu buku tersebut diterbitkan, kenyataan yang dipertikaikan boleh menimbulkan fitnah terhadap Sultanah Nur Zahirah.

“Jho Low merupakan individu yang dikaitkan dengan skandal 1MDB. Oleh itu, sebarang kaitan yang dibuat mengenai plaintif dan Jho Low sebagaimana dinyatakan dalam kenyataan tersebut akan memberikan gambaran (negatif) kepada orang awam yang menggunakan akal dan pengetahuan am ketika itu,”kata Hakim Azhahari ketika membacakan penghakiman ringkas panel terbabit.

Menurut penghakiman tersebut, mengambil kira bahawa buku tersebut diterbitkan sewaktu skandal penyelewengan dana 1MDB hangat diperkatakan di negara ini, kenyataan fitnah tersebut mampu mendedahkan Sultanah Nur Zahirah kepada kebencian, diperlekehkan dan penghinaan dalam mana-mana orang awam ketika itu.

Tambahnya, reputasi Sultanah Nur Zahirah telah diperlekehkan melalui komen-komen yang diterbitkan di portal Malaysiakini yang jelas merujuk kepada Sultanah Terengganu itu.

“Oleh itu, Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila memutuskan bahawa kenyataan yang dipertikaikan tidak memfitnah plaintif,”ujar Hakim Azhahari.

Merujuk kepada pembelaan Clare Rewcastle, panel terbabit menyatakan Clare mengakui bahawa beliau tersilap apabila menyatakan bahawa Sultanah Nur Zahirah yang memperkenalkan Jho Low kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sedangkan yang berbuat demikian ialah adindanya, Tengku Datuk Rahimah Sultan Mahmud.

“Defendan (Clare) telah memberikan maksud alternatif kepada kenyataan yang dibuat (dalam buku). Bagaimanapun, selepas membaca enam perenggan tersebut, kami dapati ia tidak berkaitan dengan kenyataan fitnah yang dipertikaikan.

“Tiada sebarang rujukan kepada kenyataan yang dipertikaikan maksud sebenar yang ingin dinyatakan oleh Clare.Ia tidak memberi penjelasan kenapa Sultanah Nur Zahirah telah dirujuk dalam kenyataan tersebut. Selain itu, Clare mengakui beliau tidak membuat pengesahan sama ada plaintif terlibat dalam pembentukan TIA (yang mana Jho Low dilantik sebagai penasihat).

“Kami berpendapat bahawa kenyataan fitnah itu telah diterbitkan dengan sengaja. Oleh itu, defendan gagal dalam membuktikan pembelaan justifikasi mereka,”ujar panel itu.

Sementara itu, dalam menentukan jumlah ganti rugi, panel terbabit mengambil kira beberapa faktor antaranya ketiadaan rasa menyesal.

“Walaupun mengakui telah berlaku kesilapan dalam mengeluarkan kenyataan tersebut, defendan pertama tidak pernah menyentuh mengenai kesilapan tersebut dalam temubual yang dilakukan dengan portal Free Malaysia Today pada 18 September 2018. Defendan juga tidak menyentuh mengenai kesilapan itu dalam temubual bersama Sarawak Report pada 27 September 2018.

“Walaupun terdapat kesilapan tersebut, defendan tidak pernah meminta maaf daripada Sultanah Nur Zahirah sebelum saman fitnah ini difailkan di mahkamah,”katanya.

Buku The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose itu dicetak sekitar Ogos 2018.

Sultanah Nur Zahirah dalam penyataan tuntutannya memberitahu kenyataan itu juga memberi gambaran yang baginda menolong ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho untuk menjadi penasihat TIA.

Sultanah Nur Zahirah dalam samannya menuntut ganti rugi am RM100 juta daripada setiap defendan dan memohon perintah terhadap defendan kedua (penerbit) menarik balik buku itu yang mengandungi kenyataan fitnah dan terhadap defendan ketiga supaya berhenti mencetak buku itu seterusnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya