KISAH percintaan penyanyi dan pelakon, Cher dengan jejaka berusia 37 tahun, Alexander Edwards bukan rahsia. Tidak lagi menyorokkan hubungan, pasangan ini terlihat bahagia dan terbuka mempamerkan kemesraan di tempat awam.
Sebelum ini, Cher atau nama sebenarnya, Cherilyn Sarkisian kurang berkongsi cerita perihal bagaimana dan di mana dia bertemu pencipta lagu itu sehinggalah perkara tersebut diceritakan kepada wartawan Daily Mail, Joanne Hegarty barubaru ini.
Cher, dalam wawancara tersebut memaklumkan dia memberanikan diri untuk menegur tentang gigi Alexander ketika mereka pertama kali berjumpa di sebuah pertunjukan fesyen di Paris, Perancis.
“Awal pertemuan kami bermula di Paris Fashion Week tahun lepas. Sahabat saya, Nebie, menyuruh saya menegurnya untuk bertanyakan tentang giginya yang bertatahkan berlian.
“Saya akhirnya terpaksa memberanikan diri untuk mendekati Alexander, selepas beberapa kali dipaksa Nebie. Perbualan kami berlaku singkat.
“Alexander berjaya mendapatkan nombor telefon saya dari seorang rakan selepas saya meninggalkan majlis tersebut. Kami kemudian menjadi akrab dan saling bertukar mesej ketika saya berada di Jerman,” katanya.
Meskipun sedang dilamun cinta, Cher memaklumkan tidak akan berkahwin lagi. Katanya, dia selesa dengan cara hidup sekarang dan tidak memikirkan sebarang keperluan untuk sekali lagi berumah tangga.
“Bukannya saya tidak sayangkan Alexander, cuma saya tidak melihat keperluan untuk berkahwin.
“Kami tidak merancang untuk mendirikan rumah tangga meskipun dia menghadiahkan saya sebentuk cincin bertatahkan berlian. Pemberian ini hanya simbolik kepada perasaannya kepada saya.
“Bagaimanapun saya tidak mena kan dia seorang yang bijak dan pandai menjaga hati saya. Pada masa sama, saya suka karakternya yang kelakar, baik hati dan dia juga berbakat besar dalam bidang muzik,” katanya lagi.
Cher dan Alexander membuat kemunculan pertama bersama ketika keduanya dirakam berpegangan tangan sekitar November 2022.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Believe itu dihujani kritikan gara-gara menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki yang 40 tahun lebih muda berbanding usianya.
Pada masa sama, peminat Cher juga kurang senang dengan kehadiran jejaka tersebut dalam hidupnya selain menyifatkan Alexander sebagai seorang opportunist.
Cher bagaimanapun tidak mengendahkan kecaman umum dan berterusan berkongsi perasaan cintanya menerusi beberapa hantaran yang dimuat naik di platform X.