KUALA LUMPUR: Indeks kadar jenayah di sekitar ibu negara dilihat berkurang sebanyak 10 peratus berbanding tahun lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, keadaan ini dapat dilihat dengan kewujudan banyak kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar ibu negara yang menjadi ‘mata-mata’ buat pihak polis.
Kata beliau, ia secara tidak langsung menyumbang kepada kadar pertuduhan yang tinggi mencecah 70 peratus membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur.
“JSJ Kuala Lumpur berjaya menyelesaikan 91.52 peratus kertas siasatan yang dibuka bagi tempoh bermula Januari hingga November.
“Keadaan jenayah terkawal dan boleh dikatakan di sini dan masyarakat tidak perlu takut (dengan jenayah) walaupun masih berlaku satu dua kes keseluruhannya fear of crime itu sudah menurun.
“Kita harap akan capai 70 peratus dalam dua minggu akan datang,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya, kadar jenayah komersial khususnya dalam talian terus menjadi agenda utama pihaknya berikutan kegiatan jenayah di alam maya itu sukar untuk dijejak.
“Walaupun keadaan jenayah terkawal, kita bimbangkan jenayah komersial kerana kalau lihat apa yang berlaku di jalanan dahulu seperti pecah rumah, rompak dan sebagainya kini berlaku dalam talian.
“Mereka beralih ke jenayah komersial sebab peluang untuk dikesan dan ditangkap itu lebih sukar apabila melakukan jenayah di alam maya,” jelasnya.
Kata beliau, keseluruhannya petunjuk prestasi utama (KPI) jenayah indeks bagi tempoh 1 Januari hingga 30 November mencatatkan penurunan sembilan peratus, jenayah harta benda lapan peratus, dan jenayah kekerasan 12 peratus.
Dalam pada itu, sebanyak 1,609 serbuan dijalankan membabitkan jenayah siber dan 1,222 serbuan membabitkan jenayah komersial lain.
“Sebanyak 87 kertas siasatan dibuka membabitkan kes pusat panggilan melibatkan 1,066 tangkapan,” katanya. – UTUSAN