KUALA LUMPUR: Penyanyi rap dan selebriti media sosial, Caprice hari ini membuat permohonan maaf kepada seluruh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan video yang dimuat naiknya baru-baru ini yang didakwa mengguris hati pasukan keselamatan itu.
Bagaimanapun, menurut Ariz Ramli, 35, video terbabit hanya dituju kepada individu yang terlibat dengan insiden calon Sijil Pelajaran Malaysia yang dilanggar maut pada 15 Disember lalu.
“Saya minta maaf kepada sesiapa termasuk PDRM yang mungkin terguris hati terasa dengan hantaran saya.
“Sebenarnya dituju dengan orang yang terlibat dalam satu kes di SMK Jati, hanya tuju kepada dia tidak ada kaitan dengan anggota polis lain.
“Bapa saudara saya pun ada yang pernah jadi Ketua Polis Kelantan pada 2003, ada yang askar, jadi keluarga kita ada saja kakitangan kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Dang Wangi, di sini hari ini.
Terdahulu, Caprice tiba di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi pada pada 12.30 tengah hari dan selesai memberi keterangan selepas sejam kemudian.
Turut hadir, Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Afdlin Shauki.
Dalam pada itu, Caprice berkata, dia maklum tentang kepentingan untuk tidak melaga-lagakan isu tersebut sehingga mencalarkan imej PDRM.
“Kita sebagai orang awam termasuk saya kena hati-hati setiap hantaran yang kita buat supaya tidak melagakan isu tersebut. Terima kasih PDRM dengar suara kami semua,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai siasatan dijalankan pihak polis terhadapnya, Caprice memaklumkan, pihak polis merampas dua telefon bimbit, komputer riba, kamera dan kad SD bagi tujuan siasatan.
Baru-baru ini, Caprice memuat naik sebuah video tentang insiden tersebut dan menggelar anggota polis berkenaan menggunakan kata-kata kesat. – UTUSAN