Capaian internet di PKGK Kuala Gandah mengecewakan

Capaian internet di PKGK Kuala Gandah mengecewakan

CAPAIAN internet di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang di Temerloh, Pahang perlu dinaik taraf supaya selari dengan statusnya sebagai pusat pemeliharaan dan pemuliharaan gajah bertaraf dunia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Capaian internet di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah di sini terlalu perlahan dan kadang kala langsung tiada liputan sekali gus mengecewakan pengunjungnya.

Di kala negara menuju perkhidmatan jalur lebar 5G tetapi pengunjung domestik dan antarabangsa ke PKGK seolah-olah berada di dunia asing apabila capaian internet tidak dapat diakses di kawasan berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk Kampung Orang Asli Suku Che Wong, Musa Abdullah, 48, berharap kerajaan negeri dan pihak berwajib memberi perhatian keperluan capaian internet di kawasan berkenaan.

“Pengunjung ke lokasi ini bukan sahaja dalam kalangan rakyat tempatan tetapi juga dari luar negara yang memerlukan perkhidmatan internet 5G untuk menghantar maklumat ke negara mereka,” katanya di sini semalam.

Tok Batin Kampung Sungai Enggang Kuala Gandah, Gen Nai, 68, mengakui masalah capaian internet menyebabkan penduduk terus berada dalam dunia terasing walaupun generasi muda semakin celik teknologi maklumat (IT).

Sehubungan itu, Gen merayu kerajaan negeri dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi mendirikan pencawang bagi menyalurkan talian internet kepada penduduk dan pengunjung di situ.

Bekas pekerja PKGK Kuala Gandah, Saudi Sidek, 64, pula berkata, sebagai sebuah pusat pemeliharaan dan pemuliharaan gajah bertaraf dunia, tidak wajar capaian internet di situ perlahan dan kadang-kala langsung tiada liputan.

“Ketika ini hanya ada sedikit liputan dari sebuah syarikat telekomunikasi, ia tidak mencukupi dan perlu diperluaskan membabitkan semua syarikat telekomunikasi,” katanya.

Menurutnya, pelbagai aktiviti menarik di Kuala Gandah seperti Sambutan Hari Gajah Sedunia yang boleh disiar secara langsung ke seluruh dunia tetapi akibat kelemahan liputan internet, ia tidak dapat dikongsi dengan masyarakat dunia.

Seorang pengunjung, Amran Omar, 40, dari Bera, dekat sini terkilan tidak dapat berkomunikasi dengan rakan-rakan di luar bagi menyampaikan maklumat penting ketika berada di PKGK Kuala Gandah.

“Sebagai pusat konservasi gajah bertaraf dunia yang dikenali oleh banyak negara luar seharusnya aspek capaian internet 5G dipastikan dapat dinikmati pengunjung pada bila-bila masa,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya