Cantik dan tampan tak cukup - Ogy Ahmad Daud - Utusan Malaysia

Cantik dan tampan tak cukup – Ogy Ahmad Daud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
KUALA LUMPUR: Seniwati tersohor, Fauziah Ahmad Daud, 61, memaklumkan kerja keras dan keinginan yang tinggi adalah sikap yang diperlukan untuk menjadi pelakon berjaya.
Kata Fauziah yang mesra disapa Kak Ogy, sikap tersebutlah yang membuatkan seseorang pelakon itu hebat berlakon dan relevan sepanjang zaman.
“Semua pelakon bermula dari bawah termasuklah saya yang pada awalnya pun ‘kayu’ ketika berlakon.  Cuma saya beruntung kerana berpeluang belajar dengan tokoh-tokoh hebat dunia perfileman dan sempat ke Indonesia untuk belajar berlakon.
“Bagi yang tidak berpeluang seperti saya, teruskanlah mencari peluang itu. Setiap pelakon ada proses yang kena mereka lalui. Semua bergantung kepada usaha dan keinginan mereka.
“Jangan harapkan rupa paras semata-mata. Kalau mahu jadi pelakon yang disegani, usahakan untuk menjadi lebih baik dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, Ogy menolak pandangan bahawa rupa paras memadai untuk menjadikan pelakon itu berjaya dan dikenali.
Katanya, tanpa kebolehan, ilmu dan kerja keras, pelakon, lebih-lebih lagi yang baru, tidak dapat bertahan lama.
“Saya tidak bersetuju apabila ada pihak yang ibarat meletakkan rupa paras sebagai sebahagian sistem untuk memilih pelakon. Itu bukan rukun menjadi pelakon, rujuklah mana-mana akademi lakonan dunia sekalipun.
“Proses menjadi pelakon adalah tentang bagaimana seseorang itu diasah bakat lakonannya untuk menghidupkan satu-satu watak. Di Malaysia, lain pula keadaannya. Kerana cantik atau kacak, mereka dicampak terus ke dalam set penggambaran. Sudahnya, terkapai-kapai mereka jadinya.
“Bagi saya itu sama sekali tidak adil untuk pelakon tersebut. Kasihan mereka,” kongsinya.
Dalam masa yang sama, Ogy juga turut berpandangan peranan pelakon senior dalam membantu membentuk pelapis pelakon baru yang berkebolehan adalah penting.
“Ada pelakon lama yang rela mengajar, ajak pelakon baru berlatih bersama-sama. Saya akan buat begitu, kerana tak mahu mematikan semangat pelakon baru meskipun mereka kosong, tak berilmu dalam lakonan.
“Kalau boleh saya tak mahu menjadi pelakon senior yang mengecam dan mengherdik pelakon baru hanya kerana mereka tak pandai berlakon. Jangan hancurkan semangat mereka. Hari ini kita tak nampak kemampuan mereka. Esok lusa, selepas lalui proses, disuntik ilmu dan pengalaman, pelakon baru itu juga bakal berjaya,” jelasnya.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya