Buruh mengaku tidak salah bunuh rakan - Utusan Malaysia

Buruh mengaku tidak salah bunuh rakan

MOHD. Alias Mokhtar (tengah) yang mengaku tidak bersalah membunuh rakannya dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menyebabkan kematian terhadap seorang rakannya, 19 November lalu.

Mohd. Alias Mokhtar, 39, membuat pengakuan itu dan memohon untuk dibicarakan sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman, hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian ke atas seorang penganggur, 45, dengan niat mendatangkan bencana tubuh yang mungkin membawa kepada kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan oleh Mohd. Alias di sebuah rumah di Kampung Gelugor Kedai dekat sini sekitar 8.30 malam pada 19 November sebelum mangsa ditemukan meninggal dunia keesokan hari.

Mayat mangsa ditemui pemilik rumah sewa berkenaan sebelum hasil bedah siasat menunjukkan 40 kesan luka pada badan mangsa dipercayai akibat dipukul menggunakan senjata tumpul.

Difahamkan, kejadian bermula dengan pertengkaran antara suspek dan mangsa berpunca daripada kes narkotik dan hutang lama sebelum suspek disyaki memukul mangsa dengan tukul.

Suspek kemudian berjaya ditangkap pihak polis pada pukul 3.40 pagi pada 21 November di Kampung Bukit Payung, Marang.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 30 tahun dan denda mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan sekiranya perbuatan itu dibuat dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Selepas merekodkan pengakuan tidak bersalah daripada tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan pada 1 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dengan tertuduh tidak ditawarkan jaminan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Akhbar pada 27 November lalu melaporkan empat sekawan termasuk suspek disambung reman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tiga lagi rakan suspek itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman berakhir hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya