Bunuh rakan, nelayan dihukum penjara 32 tahun - Utusan Malaysia

Bunuh rakan, nelayan dihukum penjara 32 tahun

NAI San Thein (tengah) dijatuhi hukuman penjara 32 tahun dan 12 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini atas dua pertuduhan bunuh dan cubaan membunuh rakan senegara, tiga tahun lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang nelayan warga Myanmar dijatuhi hukuman penjara 32 tahun dan 12 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas dua pertuduhan bunuh dan cubaan membunuh rakan senegara, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Nai San Thein, 38, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Myanmar di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang juga bapa kepada seorang anak lelaki berusia 13 tahun itu menjalani hukuman penjara dari tarikh ditangkap pada 6 April 2020.

Mengikut pertuduhan, San Thein didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Myint Soe di atas bot PKFB di sebuah pelantar ikan di Bagan Parit 4, di tepi Sungai Sumun di dalam daerah Bagan Datuk antara pukul 11 hingga 11.45 pagi pada 6 April 2020.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Tertuduh yang telah berkahwin itu turut didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana melakukan suatu cubaan membunuh terhadap San Thein pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Bagi kesalahan tersebut, lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara hingga 10 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Ranjit Singh yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dikenakan hukuman penjara yang minimum mengambil kira pengakuan lelaki itu telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Menurut beliau, anak guamnya itu mengakui kesal atas perbuatannya yang didakwa berpunca daripada tindakan provokasi yang dilakukan si mati dan seorang rakan mereka terhadap tertuduh.

“Dalam kes ini, mayat si mati tidak ditemui dan kita tidak mengetahui sebab kematian sama ada mangsa mati akibat lemas atau lain-lain punca selain tiada penyataan impak daripada pihak pendakwaan.

“Oleh itu, anak guam saya memohon agar dikecualikan daripada hukuman gantung dan memohon dikenakan hukuman penjara minimun dari tarikh ditangkap,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Saifulakmal Mod Said memberitahu mahkamah bahawa perbuatan yang dilakukan tertuduh adalah satu kesalahan yang serius dan memohon lelaki terbabit dikenakan hukuman gantung bagi kesalahan membunuh dan hukuman berat bagi pertuduhan cubaan bunuh.

Hakim Datuk Abdul Wahab kemudian menjatuhkan hukuman penjara 32 tahun dan 12 sebatan bagi kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, tertuduh dijatuhkan hukuman empat tahun penjara.

Kedua-dua hukuman berjalan serentak dari tarikh tangkap.

Mahkamah turut memerintahkan eksibit yang bukan berbentuk dokumen dikembalikan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya manakala eksibit berbentuk dokumen dikekalkan.

Perbicaraan bagi kes ini dijalankan pada 6 Julai lalu dengan dua saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan membabitkan dua lelaki warga Myanmar.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki warga asing diberkas polis kerana dipercayai menetak rakannya dengan sebilah parang sebelum menolak mangsa ke dalam sungai. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN