SABAK BERNAM: Mahkamah Majistret Sungai Besar di sini, hari ini menetapkan 1 Februari depan bagi sebutan izin pendakwaan memindahkan kes seorang pemuda yang didakwa membunuh kekasih hamilnya, Mei lalu ke Mahkamah Tinggi.
Majistret Siti Hajar Ali membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Afiq Qiwamuddin Mustapha Shakri yang memohon pemindahan berkenaan.
Terdahulu, Muhammad Afiq berkata, pihaknya sudah menerima semua laporan dan dokumen mengenai kes tersebut.
“Semua dokumen berkenaan sudah tersedia bagi sebutan kes hari ini. Namun, saya memohon izin tempoh dua bulan bagi menelitinya terlebih dulu sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi,” katanya.
Dokumen oleh pihak pendakwaan itu melibatkan laporan kimia, forensik dan bedah siasat.
Sementara itu, peguam Muhammad Nor Tamrin tiada bantahan terhadap pemindahan tersebut.
Terdahulu, tertuduh, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 20, yang berbaju T putih tiba dengan trak polis di mahkamah itu, kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan bunuh terhadap seorang wanita berusia 21 tahun di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar di sini, kira-kira pukul 8.30 malam 22 Mei sehingga pukul 8 pagi 23 Mei lalu.
Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pada 27 September lalu, mahkamah itu menolak permohonan pihak pembelaan tertuduh supaya merujuk kes itu kepada hospital psikiatri kerana ia perlu diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi.
Muhammad Nor sebelum ini mengemukakan permohonan itu dengan mengambil kira faktor natural case yang didakwa dilakukan anak guamnya dan keterangan terbaharu berkaitan keadaan mental.
Utusan Malaysia pada 24 Mei lalu melaporkan seorang lelaki diibaratkan dirasuk syaitan apabila bertindak kejam membunuh dan membakar teman wanitanya.
Tindakan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan suspek sebanyak dua kali selepas berlaku perselisihan faham berkaitan menyembunyikan kehamilan luar nikah mangsa.
Selain memukul dan menoreh perut pelayan restoran itu, suspek dipercayai turut sempat membeli minyak petrol di stesen minyak untuk membakar mangsa. – UTUSAN