SHAH ALAM: Keluarga seorang guru wanita yang maut dipercayai dibunuh suaminya sendiri dengan dumbel dekat sebuah rumah di Jalan Sungai Congkak di sini, masih terkejut dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis bagi menjalankan siasatan.
Ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, dia menerima khabar duka tentang anak kedua daripada tiga beradik itu ketika sedang bekerja di sekitar sekitar bandar raya ini, kira-kira pukul 8 pagi semalam.
“Pada waktu itu, saya hanya diberitahu bahawa mangsa sudah meninggal dunia dan diminta hadir ke Hospital Shah Alam (HSA). Kami sekeluarga memang masih terkejut dengan kejadian itu dan berharap polis dapat menjalankan siasatan menyeluruh kes berkenaan.
“Kami masih menunggu proses bedah siasat yang masih dijalankan setakat ini. Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Kembong, Pulau Indah petang ini,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSA, hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Majistret di sini, membenarkan tempoh reman tujuh hari ke atas seorang lelaki berusia 38 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Perintah reman bermula hari ini hingga Jumaat depan itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Saidatul Akmar Suberi.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan seorang tenaga pengajar sebuah kolej mati dibunuh suaminya sendiri menggunakan dumbel akibat cemburu, semalam.
Mangsa berusia 33 tahun yang bertugas sebagai guru di Kolej Vokasional Miri, Sarawak itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HSA kira-kira pukul 5.33 pagi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, suspek pada mulanya membawa isterinya itu ke HSA selepas dikatakan tidak sedarkan kerana mengalami sawan.
Namun, tembelang lelaki yang bekerja sendiri itu terbongkar apabila pemeriksaan awal doktor mendapati terdapat kecederaan di beberapa bahagian tubuh simati.
Bertindak atas maklumat, suspek kemudiannya ditahan pukul 12.49 tengah hari di HSA dan senjata berupa sebuah dumbel yang dipercayai digunakan untuk memukul isterinya turut dirampas.
Siasatan mendapati pasangan tersebut baru berkahwin pada April lalu dan terpaksa menjalani kehidupan rumah tangga secara pasangan jarak jauh serta belum mempunyai anak.
Mangsa pulang bercuti ke semenanjung untuk menghadiri perkahwinan adik iparnya. Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau kes pukul dan dadah. Malah, hasil ujian saringan air kencing dapati suspek juga positif dadah jenis metamfetamin. – UTUSAN