Bunuh isteri dengan dumbel: Jenazah mangsa selamat dikebumi - Utusan Malaysia

Bunuh isteri dengan dumbel: Jenazah mangsa selamat dikebumi

Dumbel
JENAZAH mangsa dipercayai dibunuh oleh suaminya semalam selamat dikebumikan dekat Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Kembong, Pulau Indah, di Klang, Selnagor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Jenazah seorang wanita yang maut dipercayai dibunuh suaminya dengan dumbel di Jalan Sungai Congkak, Shah Alam semalam selamat dikebumikan hari ini.

Jenazah Allahyarham yang berusia 33 tahun itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid Kampung Sungai Kembong, Pulau Indah di sini, kira-kira pukul 5.30 petang ini.

Terdahulu, jenazah yang dibawa dari Unit Forensik Hospital Shah Alam (HSA) tiba di masjid kampung berkenaan diiringi puluhan ahli keluarga dan saudara mara untuk disembahyangkan.

Ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, pihaknya bersyukur urusan pengebumian anak kedua daripada tiga beradik itu berjalan lancar.

“Kami setakat ini belum bersedia mengulas lanjut kerana masih terkejut dengan kejadian tersebut. Namun, keluarga berharap polis dapat menjalankan siasatan terperinci kes tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di sana, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Shah Alam membenarkan tempoh reman tujuh hari ke atas seorang lelaki berusia 38 tahun yang disyaki membunuh isterinya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Utusan Malaysia melaporkan pensyarah Kolej Vokasional Miri mati disyaki dibunuh suaminya sendiri menggunakan dumbel akibat cemburu dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HSA pukul 5.33 pagi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, suspek pada mulanya membawa isterinya itu ke HSA selepas dikatakan tidak sedarkan diri susulan mengalami sawan.

Namun, tembelang lelaki yang bekerja sendiri itu terbongkar apabila pemeriksaan awal doktor mendapati terdapat kecederaan di beberapa bahagian tubuh simati.

Bertindak atas maklumat, suspek ditahan pukul 12.49 tengah hari di HSA dan dumbel yang dipercayai digunakan untuk memukul isterinya turut dirampas.

Siasatan mendapati pasangan itu baru berkahwin pada April lalu dan terpaksa menjalani kehidupan rumah tangga secara pasangan jarak jauh (PJJ) serta belum mempunyai anak.

Mangsa pulang bercuti ke semenanjung untuk menghadiri perkahwinan adik iparnya.

Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau kes pukul dan dadah selain hasil ujian saringan air kencing didapati positif metamfetamin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN