Bungkus ganja seperti belacan gagal kaburi pihak berkuasa

Bungkus ganja seperti belacan gagal kaburi pihak berkuasa

ISMAIL Hashim (tiga dari kiri) menunjukkan gambar ketulan mampat dipercayai ganja yang ditemukan dalam bagasi suspek menerusi serbuan di Kompleks ICQS Wang Kelian, Padang Besar, Perlis dalam sidang akhbar di Padang Besar, Perlis.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Cubaan seorang pemandu pelancong sambilan mengaburi pihak berkuasa dengan membawa masuk ganja yang dibungkus menyerupai belacan tidak berhasil apabila pemuda berkenaan ditahan di pos kawalan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian di sini, minggu lalu.

Hasil pemeriksaan dilakukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis sekitar pukul 9.35 pagi itu, satu beg plastik lutsinar dan beg plastik berwarna hitam ditemukan dalam bagasi milik suspek berusia 24 tahun yang dipercayai mengandungi ketulan mampat ganja seberat 3.68 kilogram.

Pengarah Kastam Negeri, Ismail Hashim berkata, suspek bertindak berani dengan menyembunyikan plastik-plastik tersebut di dalam timbunan pakaian bagi mengelakkan tindakannya dihidu pihak berkuasa.

“Kesemua rampasan itu bernilai RM11,408 dan ganja berkenaan dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran sekitar Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Berikutan itu, Ismail berkata, suspek berkenaan ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952.

“Jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup yang mana boleh juga dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 12 sebatan,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Ismail berkata, sepasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan dan Marin Kuala Perlis membuat serbuan di kawasan tepi pantai Kampung Padang Jamil, Kuala Perlis yang membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan bersama empat warga Myanmar dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran pada 20 Disember lalu.

Katanya, modus operandi digunakan oleh suspek adalah dengan cara mendaratkan migran di pesisir pantai pada awal pagi dan pihak terlibat akan diambil oleh warga tempatan yang bertindak sebagai ‘transporter’.

“Lelaki Melayu yang ditahan itu adalah berusia 34 tahun manakala empat warga Myanmar itu berusia lingkungan 16 hingga 53 tahun. Menerusi serbuan itu, JKDM turut merampas sebuah motosikal milik warga tempatan yang dipercayai berkaitan kes tersebut,” katanya.

Tambahnya, kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

“Manakala bagi kes migran pula disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Kastam negeri berjaya mematahkan hampir 300 kes cubaan seludup dengan nilai rampasan RM5.98 juta dan nilai cukai berjumlah RM3.85 juta, sepanjang tahun ini.

“Bahagian Penguatkuasaan Kastam negeri itu turut sama mematahkan pelbagai kes jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan migran dan dadah.

“Kenderaan antara komoditi yang mencatatkan nilai rampasan tertinggi iaitu sebanyak RM3.05 juta diikuti dadah (RM1.8 juta); lain-lain rampasan (RM718,024).

“Bagi nilai cukai pula, kastam merampas kenderaan dengan nilai RM2.67 juta diikuti rokok (RM0.59 juta); lain-lain barangan (RM0.32 juta) dan minuman keras (RM264,300),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya