PETALING JAYA: Semua rakyat Malaysia khususnya mereka yang bukan beragama Islam diingatkan supaya menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal Agama Islam di Malaysia.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah merujuk cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang menyarankan kerajaan agar melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, yang ditubuhkan awal bulan ini.
Sultan Sharafuddin Idris menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Selangor Royal Office bertitah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh baginda, memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam.
Baginda bertitah, MKI juga dianggotai oleh pakar-pakar yang arif dalam pelbagai bidang khususnya yang melibatkan undang-undang dan agama Islam.
“Justeru, baginda mengharapkan agar orang-orang politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak terus-menerus mencampuri urusan hal ehwal Agama Islam. Malah, penganut agama-agama lain seharusnya mencontohi umat Islam yang tidak mencampuri hal ehwal agama lain di Malaysia.
“Baginda berkenan memetik ayat ke-6 Surah al-Kafirun di mana Allah telah berfirman (yang bermaksud) ‘Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku,” menurut kenyataan itu.
Semalam, Koo Ham menyarankan kerajaan agar melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, yang ditubuhkan awal bulan ini.
Pemimpin DAP tersebut menjelaskan langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.
Sebelum ini, Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-undang Islam bertanggungjawab mengkaji isu-isu melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah, sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan.
Dalam pada itu, Selangor Royal Office menjelaskan Sultan Selangor turut mengambil maklum kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Setiausaha Agong DAP, Anthony Loke Siew Fook hari ini.
Terdahulu, Anthony Loke berkata, cadangan Koo Ham berhubung pelantikan pakar perundangan bukan Islam bagi menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Bidang Tugas Mahkamah Syariah adalah satu kekhilafan mengenai punca kuasa penubuhan jawatankuasa itu.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan, berkata beliau amat sedar kenyataan Koo Ham itu akan menimbulkan polemik, kononnya DAP cuba mencampuri urusan agama Islam.
“Ini tidak benar sama sekali. DAP menghormati kebijaksanaan Tuanku Sultan Selangor dalam membuat sebarang keputusan mengenai urusan MKI,” katanya. – UTUSAN