MELAKA: Khazanah seni, budaya dan warisan masyarakat peranakan di Melaka dapat memberi nilai tambah kepada produk pelancongan seni serta budaya Melaka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, komuniti peranakan perlu terus memperkukuh dan memperkasa hubungan yang terjalin sesama diaspora agar bidang-bidang lain termasuk kebudayaan, kesenian, warisan dan perdagangan dapat diperkembangkan.
Tegasnya, kerajaan negeri sentiasa menyokong kepelbagaian inisiatif melibatkan budaya dan warisan bagi mengelak ia pupus lenyap ditelan zaman.
“Saya amat yakin dan percaya, melalui penonjolan khazanah seni, budaya dan warisan masyarakat peranakan ini, ia akan dapat memberi nilai tambah kepada produk pelancongan seni dan budaya di Melaka,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup dan Jamuan Makan Malam Kesenian Festival Antarabangsa Masyarakat Peranakan Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) 2023 di sebuah hotel di Banda Hilir di sini, malam tadi.
Tambah Ab. Rauf, Hari Kebaya Baba Nyonya akan berlangsung selama tiga hari bertempat di Bangunan Stadthuys, Banda Hilir pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak, sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.
Katanya, penganjuran acara itu juga bakal mengetengahkan seni, budaya, masakan serta gaya hidup masyarakat peranakan di negeri ini, termasuk etnik Ceti dan Portugis.
Ujarnya, ketika majlis berlangsung, semua yang terlibat termasuk pengunjung dan pelancong wanita akan berkebaya, ditambah dengan penganjuran pelbagai acara menarik lain.
“Pada hari itu juga kita akan hidupkan muzium seni budaya supaya orang ramai dapat lebih mendalami budaya peranakan yang ada di Melaka.
“Saya percaya program yang akan dikelolakan Institut Warisan Melaka (Inswa) ini akan menjadi satu sektor pelancongan terbaharu yang akan memberi pulangan kepada peniaga-peniaga di negeri ini,” katanya. – UTUSAN