Buaya Tasik Kiambang masuk perangkap selepas empat minggu

Buaya Tasik Kiambang masuk perangkap selepas empat minggu diumpan

BUAYA tembaga yang berjaya ditangkap di Tasik Kiambang, Serendah, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Usaha Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ‘mengumpan’ seekor buaya di Tasik Kiambang, Serendah sejak empat minggu lalu berhasil apabila reptilia itu memasuki perangkap semalam.

Buaya tembaga jantan sepanjang lebih dua meter itu berjaya ditangkap di kawasan tasik berkenaan pukul 9.15 pagi.

Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd. Adib Wan Mohd. Yusoh berkata, pihaknya bertindak memasang perangkap itu pada 1 Disember lalu susulan aduan dan maklumat orang awam.

“Pemantauan harian dijalankan kakitangan Perhilitan Hulu Selangor berjaya menemukan buaya itu di dalam perangkap tersebut. 

“Proses pemindahan dengan kekuatan seramai 11 anggota berjalan lancar dan selesai kira-kira pukul 3 petang semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, buaya itu dipindahkan ke Paya Indah Wetlands, Dengkil bagi pemeriksaan lanjut dan ditempatkan di pusat kuarantin. 

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan sepanjang operasi menyelamat reptilia tersebut,” ujarnya.

Sebelum ini, kehadiran buaya itu mencetuskan kebimbangan kepada orang awam terutama penduduk Apartment Saujana yang terletak berdekatan tasik berkenaan.

Selain berada berhampiran penempatan penduduk, tasik berkenaan menjadi kawasan popular untuk pemancing.

Justeru, Perhilitan menjalankan operasi pemasangan perangkap buaya yang turut menggunakan umpan daging ayam.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN