LAHAD DATU: Selepas tiga kali cubaan menangkap buaya gergasi sepanjang hampir lima meter gagal akhirnya reptilia seberat 1.2 tan itu berjaya ditumpaskan dengan tujuh das tembakan di Kampung Desa Bajau, di sini pada Isnin.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Lahad Datu, Kapten (PA) Ahmad Roslan Mohd. Kamel berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kehadiran buaya di kawasan perkampungan atas air itu pada pukul 4.38 petang.
Kemudian, sepasukan enam anggota bergegas ke lokasi kejadian bagi menangkap reptilia berkenaan.
Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Hidupan Liar (JHL) mengambil masa kira-kira lima jam untuk menangkap reptilia berkenaan.
“Buaya jantan gergasi itu berjaya ditenangkan dan ditangani pada pukul 8.50 malam. Sebelum ini, kita telah cuba menangkap buaya tersebut sebanyak tiga kali namun tidak berhasil kerana saiz reptilia itu terlalu besar, hampir lima meter dengan berat 1.2 tan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Hidupan Liar Lahad Datu, Silvester Saimin berkata, pihaknya terpaksa melepaskan tujuh das tembakan kira-kira pukul 7.30 malam untuk menangkap buaya berkenaan.
Buaya itu kemudiannya ditarik ke daratan oleh anggota APM dengan bantuan orang kampung.
“Bangkai buaya dibawa ke perumahan hidupan liar untuk dilupuskan,” katanya. –UTUSAN