Buasir : Jangan duduk di tandas lebih 3 minit, elak meneran kuat

Buasir : Jangan duduk di tandas lebih 3 minit, elak meneran secara kuat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melihat telefon dan duduk lama di dalam tandas boleh meningkatkan risiko mendapat penyakit buasir.

Buasir berlaku apabila terdapat tekanan pada perut atau bahagian bawah badan yang menyebabkan tisu buasir di saluran dubur boleh terkeluar.

Tisu buasir adalah kelompok tisu vaskular, otot licin, tisu penghubung dan saluran darah yang berada di saluran dubur. Setiap orang mempunyai tisu buasir ini.

Pakar Perunding Bedah Am dan Kolorektal, Dr. Paul Selvindoss berkata, sebaiknya jangan duduk di tandas melebihi tiga minit bagi mengelakkan tekanan dan berlakunya masalah buasir.

“Membuang air besar sambil bermain telefon menyebabkan kecenderungan untuk duduk lama di dalam tandas dan meneran tanpa kita sedari. Lebih lama lebih tinggi risiko kejatuhan buasir dari dubur.

“Terdapat data menunjukkan tandas cangkung lebih baik berbanding tandas duduk. Tandas cangkung bukan saja memudahkan pembuangan air besar tetapi pada masa sama tidak mendorong kita duduk lama di tandas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi tutorial media secara dalam talian. Ia bermatlamat berkongsi ilmu mengenai penyakit buasir serta rawatan yang ada bagi memenuhi keperluan pesakit.

Turut hadir, dua lagi Pakar Perunding Bedah Am dan Kolorektal, Datuk Dr. Meheshinder Singh dan Dr. Akhtar Qureshi.

Tambah Dr. Paul, membuang air besar satu hingga dua kali sehari menunjukkan usus yang sihat. Sebaliknya pembuangan air besar lebih dua hari boleh menyebabkan sembelit.

“Sembelit akan menyebabkan seseorang meneran. Sebaiknya jangan duduk lama di tandas dengan memaksa najis keluar dengan meneran secara kuat kerana ia boleh menyebabkan tekanan pada buasir.

“Amalkan diet tinggi serat atau fiber untuk mengelakkan masalah sembelit. Makan enam hingga sembilan hidangan protein dan sayur-sayuran terutama sayuran hijau setiap hari,” katanya.

Dr. Paul juga menyarankan bersarapan dengan makanan tinggi serat seperti pisang dan oat untuk usus lebih sihat. Sebaiknya elakkan makan roti canai dan nasi lemak setiap hari kerana kandungan serat terlalu sedikit.

PETANDA BERLAKU RADANG 

Sementara itu, Datuk Dr. Meheshinder Singh berkata, buasir juga boleh terbentuk akibat pertambahan berat badan, terutama semasa hamil.

“Biasanya wanita hamil akan mengalami peningkatan berat badan disebabkan perubahan hormon. Berat badan ini akan menyebabkan tekanan pada pelvik seterusnya meningkatkan aliran darah.

“Faktor usia yang meningkat juga boleh menyebabkan berlaku buasir. Buasir berkembang apabila tisu dubur merosot disebabkan faktor usia tetapi ia juga boleh berlaku dalam kalangan orang lebih muda,” katanya.

Penyakit buasir berlaku apabila ada perubahan patologi yang menyebabkan kerosakan pada lapisan buasir dan mengakibatkan salur darah vena pada dubur dan bahagian bawah rektum membengkak.

Lapisan buasir ini berfungsi seperti kusyen yang mengawal pergerakan najis. Tekanan menyebabkan ia radang dan kadangkala tersembul keluar dari dubur.

Penyakit buasir boleh dibahagikan kepada dua jenis. Buasir yang terbentuk di dalam rektum dipanggil buasir dalaman dan biasanya ia tidak menyakitkan tetapi ia cenderung untuk berdarah.

Jenis kedua yang terbentuk di bawah kulit di sekitar dubur dipanggil buasir luaran dan ia boleh menyebabkan kesakitan.

“Kehadiran darah pada mangkuk tandas selepas anda membuang air besar adalah antara simptom utama penyakit buasir. Malah anda juga boleh melihat darah merah terang pada tisu tandas atau najis selepas buang air besar.

“Selain itu, pesakit juga mungkin berasa gatal dan sakit pada dubur terutama apabila duduk, berasa sakit semasa membuang air besar dan bonjolan yang menyakitkan di sekitar dubur. Selain itu, terdapat pengeluaran lendir atau mukos daripada dubur,” katanya.

Tambah beliau lagi, kira-kira setengah juta pesakit datang ke klinik dan hospital disebabkan buasir.

Bagaimanapun, masih ramai yang malu untuk mendapatkan rawatan sebaliknya lebih sanggup membeli ubat di farmasi.

“Jumlah orang yang terkesan dengan penyakit ini sebenarnya lebih ramai daripada yang kita sangkakan. Satu tinjauan antarabangsa menunjukkan satu dalam 10 orang mengalami penyakit buasir.

“Oleh itu, sangat penting untuk kita mengetahui punca dan simptomnya supaya ia dapat dicegah atau diuruskan dengan lebih baik,” katanya.

RAWATAN BUASIR

Dr. Akhtar Qureshi berkata, penyakit buasir boleh memberi kesan buruk ke atas kualiti hidup seseorang pesakit.

“Ini termasuklah rasa tidak selesa apabila duduk dan berdiri lama, semasa bekerja, berjalan, bersenam dan membuang air besar. Bahkan, ia juga menjejaskan hubungan anda dengan pasangan,” katanya.

Walaupun buasir boleh hilang dengan sendiri tetapi pesakit masih perlu mendapatkan rawatan terutama jika ia mengganggu aktiviti seharian.

“Antara rawatan yang ada sekarang adalah rawatan oral (ubat), pelega setempat (krim dan salap) atau prosedur perubatan. Bagi kes yang lebih serius, mungkin memerlukan pembedahan tetapi ia jarang dilakukan.

“Buasir boleh sembuh dengan cepat menggunakan ubat sapuan sekurang-kurangnya selama seminggu di mana bonjolan boleh termasuk semula dengan sendirinya. Apa yang penting perlu menukar gaya hidup termasuk tabiat pemakanan,” katanya.

Pada sesi berkenaan, salap emoflon®sucralfate untuk merawat gejala buasir dilancarkan. Ia didaftarkan di bawah Akta 737 sebagai peranti perubatan kelas BB*.

Menggunakan mod tiga tindakan, ia bertindak untuk membentuk penghalang mekanikal yang meliputi dan melindungi epidermis secara berkesan.

Selain itu, ia menyediakan penjagaan kulit yang radang dan gatal, serta membantu menggalakkan penjanaan semula kulit. Ia juga mengurangkan kekeringan kulit yang membantu proses penyembuhan luka dan merendahkan risiko berlaku rekahan pada dubur serta kecederaan buang air besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya