BFF 2023 pangkin ekonomi penduduk Seberang Perai - Utusan Malaysia

BFF 2023 pangkin ekonomi penduduk Seberang Perai

WONG Hon Wai (tengah) ketika majlis perasmian BFF 2023 di Padang Pemuda Merdeka, Butterworth, Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Penganjuran Butterworth Fringe Festival (BFF) 2023 di bawah pelaksanaan Pelan Butterworth Baharu diyakini mampu menjadi pemangkin pembangunan ekonomi setempat khususnya dalam kalangan penduduk di Seberang Perai.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, pada masa sama, penganjuran festival tahunan secara percuma itu juga diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung termasuk pelancong asing ke Butterworth.

“BFF2023 yang telah mengisi kalendar aktiviti tahunan kerajaan negeri dengan mengetengahkan 10 komponen utama dalam pengisian acaranya pada tahun ini termasuk meliputi persembahan daripada lebih 50 orang artis dari dalam dan luar negara.

“Festival kali ini pula meyajikan lebih 60 program terdiri daripada persembahan Comic Cloud Clowna dari Itali, ImprovisArte dari Mexico, Love & Cube Show dari Taiwan, Muy Moi Show dari Jerman serta persembahan Luka dari Perancis.

“Turut memeriahkan festival ialah program Nada: Pulse, Exquisite Batik Runaway; Api-Api, Sound of Bamboo, RM2 Food Carnival, Creative Market Workshop, demonstrasi makanan tradisional, pameran barangan ‘upcycle’, kaunter bergerak Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan sebagainya,” katanya.

PENGANJURAN BFF 2023 diyakini mampu memangkin pembangunan ekonomi setempat khususnya dalam kalangan penduduk di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Beliau berucap sempena perasmian festival itu di Padang Pemuda Merdeka di sini, semalam.

Diadakan sejak 2015 kecuali pada 2020 dan 2021 akibat penularan pandemik Covid-19, festival selama dua hari itu dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dengan sokongan dan kerjasama daripada kerajaan negeri serta Penang Global Tourism.

Penganjuran festival berbentuk kesenian, kebudayaan dan warisan itu pada dasarnya dianggap sebagai antara inisiatif untuk meremaja serta ‘membangunkan semula’ Butterworth untuk menjadi lebih ‘warna-warni’ selain menjadikan bandar tersebut sebagai hub budaya, kreatif dan inovasi pada masa depan.

Dalam pada itu, Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid berkata, penganjuran BFF 2023 mampu menjadi platform untuk menyatupadukan rakyat atas kecintaan terhadap seni, budaya dan warisan yang melangkaui latar belakang bangsa serta agama.

“Penganjuran BFF tahun ini sememangnya membawa kelainan dalam mempersembahkan budaya nasional dan antarabangsa,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya