PETALING JAYA: Semua pihak perlu memberi peluang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuktikan kemampuan menerajui pentadbiran negara selepas setahun dilantik mengetuai kerajaan.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, rakyat wajar memberi peluang kepada Anwar untuk membuktikan kemampuan sebagai Perdana Menteri kerana tidak mungkin untuknya membuat perubahan dalam tempoh setahun.
“Saya tidak fikir anda boleh ubah negara dalam tempoh setahun.
“Saya fikir terdapat menteri yang baik seperti Anthony Loke (Menteri Pengangkutan). Saya akan menyokong kerajaan, tetapi jika sesuatu tidak betul, saya akan memaklumkan kepada mereka,” titah baginda seperti dipetik dalam temu bual eksklusif bersama The Straits Times Singapura.
Majlis Raja-Raja sebelum ini dalam Mesyuarat Yang Ke-263 (Khas) yang berlangsung di Istana Negara pada 27 Oktober bersetuju mengisytiharkan Sultan lbrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 selama tempoh lima tahun mulai dari tarikh 31 Januari 2024.
Pelantikan baharu itu menggantikan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan pemerintahan berkuat kuasa 30 Januari 2024 selepas memegang tampuk kepemimpinan negara selama lima tahun bermula 31 Januari 2019.
Majlis Raja-Raja juga bersetuju mengisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, selama lima tahun mulai dari tarikh sama.
Sultan Ibrahim bertitah, bahawa baginda tidak nampak wujud masalah untuk bekerjasama dengan Anwar kerana mempunyai rapat dengan Perdana Menteri.
Baginda turut menyifatkan mempunyai hubungan rapat dengan Anwar,
“Beliau kadang-kalang walaupun tengah malam hubungi saya, untuk minta nasihat,” titah Sultan Ibrahim. – UTUSAN