Beri diskaun pengguna terjejas bekalan air - Utusan Malaysia

Beri diskaun pengguna terjejas bekalan air

ANDREW Ooi (kanan) dalam sidang akhbar mengenai isu gangguan bekalan air di Pejabat Gerakan, George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) disarankan memberi diskaun sehingga 50 peratus atau minimum RM20 kepada pengguna di kawasan Barat Daya dan Seberang Perai yang terpaksa berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual selama lebih tiga hari susulan kejadian paip pecah di Sungai Perai.

Ketua Biro Pengaduan Awam Parti Gerakan Pulau Pinang, Andrew Ooi berkata, pengguna air di sebahagian besar negeri ini berdepan gangguan bekalan air selama lebih tiga hari lalu dan ia adalah satu perkara yang sangat serius memandangkan kehidupan rakyat terjejas akibat insiden terbabit.

Sehubungan itu, ujar beliau, PBAPP harus memberi pampasan kepada pengguna untuk menebus kerugian yang dihadapi oleh rakyat.

“Gangguan air menyebabkan penjaja terutama yang menjalankan perniagaan kedai makanan tidak dapat meneruskan operasi.

”Oleh itu, kami mengesyorkan PBAPP memberi diskaun 50 peratus atau minimum RM20 untuk bil Disember kepada pengguna yang terjejas dengan gangguan bekalan air ini,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Kira-kira 200,000 pengguna air di Barat Daya (bahagian pulau) dan Seberang Perai (kawasan seberang) mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula pada Selasa.

Ia susulan penutupan sementara saluran paip sebesar 1,350 milimeter (mm) di Sungai Perai yang pecah.

Setakat petang semalam, lebih 70 peratus pengguna terjejas mula menerima bekalan air manakala selebihnya dijangka mendapat bekalan air hari ini.

Menurut Andrew, insiden gangguan bekalan air tidak berjadual itu membolehkan rakyat menilai keupayaan kerajaan negeri terutama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow selaku Pengerusi PBAPP untuk bertindak balas dalam menyelesaikan krisis bekalan air tersebut.

“Rakyat Pulau Pinang turut akan berdepan gangguan bekalan air selama empat hari pada awal tahun depan dan tidak dapat dibayangkan keadaan ketika itu.

“Kita juga bimbang sama ada 50 lori tangki yang akan disediakan oleh PBAPP semasa ketiadaan air itu mampu menampung keperluan rakyat kelak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya