SHAH ALAM: Pelakon, Jalil Hamid, turun berat badan sehingga 30 kilogram selepas mengalami masalah kesihatan jantung selain hilang selera makan sejak setahun lalu.
Jalil atau Abdul Jalil Abdul Hamid, 66, berkata, dia akan muntah setiap kali menjamah makanan sehingga menyebabkannya terpaksa menelan hidangan dengan tekstur lembut seperti bubur.
“Dalam tempoh setahun ini, saya hanya boleh makan sesuatu yang halus seperti bubur. Jika tidak, saya akan muntah.
“Berat badan saya turun mendadak sehingga 30 kilogram membuatkan saya tidak stabil untuk berjalan.
“Saya juga sudah tidak boleh memandu kereta jadi isteri yang bantu hantar ke mana-mana,” katanya.
Jalil ditemui Utusan Malaysia di majlis program dakwah Selebriti Bersama Mufti di kediaman pelakon Diana Rafar, semalam.
Pelakon filem Bisik Pada Langit itu juga mendedahkan sudah tiga tahun tidak menerima tawaran pekerjaan kerana masalah kesihatan.
“Sudah tiga tahun saya tidak menerima tawaran berlakon. Mungkin saya direhatkan.
“Produksi juga risau untuk ambil saya berlakon manalah tahu lepas shooting dua, tiga hari sudah ‘gone’.
“Sejujurnya saya tidak boleh tinggalkan dunia lakonan. Apakan daya, dalam kehidupan berlakon, hidup ini pun lakonan juga,” jelasnya.
Jalil disahkan doktor menghidapi masalah jantung bengkak dan baru sahaja menjalani pembedahan pada Julai tahun lalu.
Sehingga kini pelakon itu akan melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital sekali setiap bulan.
“Sewaktu pembedahan, saya alami masalah bengkak jantung. Kesannya, kaki saya turut bengkak dan sukar berjalan.
“Kali terakhir saya buat pemeriksaan minggu lepas. Mereka ada minta saya duduk di wad tapi saya tidak mahu,” katanya.
Dalam pada itu, Jalil bersyukur dengan sumbangan yang diberikan rakan-rakan artis dan pihak zakat sekali gus mengurangkan beban kewangan yang ditanggung pelakon itu.
“Saya tidak mahu bebankan anak-anak dengan masalah saya. Mereka juga ada yang baru bekerja dan berkeluarga.
“Kos sara hidup hari ini pun mahal. Ubat saya sahaja hampir mencecah seribu ringgit.
“Sedekah dan pemberian begini dapatlah meringankan beban saya,” tambahnya.
Dalam majlis yang dihadiri oleh Mufti Selangor, Datuk Setia Dr. Anhar Opir, Jalil tersenarai sebagai salah seorang daripada 40 penerima sumbangan.-UTUSAN