PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan pada 2002 membenarkan syarikat perkapalan Israel, ZIM (ZIM Integrated Shipping Services Ltd.) berlabuh kerana Malaysia ketika itu masih menaruh harapan kepada usaha damai antara Palestin dan Israel.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, kerajaan ketika itu juga pernah membenarkan pasukan kriket Israel dengan harapan rakyatnya dapat melihat bahawa penduduk Malaysia yang majoriti beragama Islam boleh hidup bersama rakyat beragama lain.
“Malangnya segala usaha itu jelas sia-sia kerana Israel selepas itu terus memperlihat sifat kebinatangannya dan terus membunuh rakyat Palestin.
“Laluan kepada ZIM juga sekadar kebenaran kepada perjalanan sesebuah kapal tanpa memperlihat sebarang sokongan kepada rejim Israel dan tindakannya membunuh rakyat Palestin.
“Ini berbeza dengan menjadi ahli dan penyokong pertubuhan pro-Zionist yang jelas mendokong cita-cita Israel melakukan penghapusan etnik orang Palestin menerusi genocide dan pembunuhan besar-besaran,” katanya dalam kenyataan.
Untuk rekod, Kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal milik syarikat itu berlabuh di Malaysia.
Pada 2005, Kabinet ketika itu memberi kebenaran kepada kapal tersebut untuk mendarat di Malaysia, bagaimanapun, kerajaan hari ini memutuskan membatalkan kesemua keputusan Kabinet terdahulu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekatan itu adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap rakyat Palestin.
Mengulas lanjut, Mahathir berkata, beliau menyokong sekatan dikenakan itu kerana tindakan melampau dan tiada perikemanusiaan Israel terhadap penduduk Palestin perlu dikeji.
“(Selain itu) apa-apa tindakan protes yang boleh dilakukan harus diambil,” katanya. – UTUSAN