Beli kenderaan baharu kegunaan jabatan, kerajaan negeri prosedur biasa - Utusan Malaysia

Beli kenderaan baharu kegunaan jabatan, kerajaan negeri prosedur biasa

SEBAHAGIAN daripada kenderaan baharu yang didakwa dibeli untuk kegunaan Menteri Besar dan Exco kerajaan negeri. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pembelian kenderaan baharu untuk kegunaan jabatan dan kerajaan negeri adalah satu prosedur biasa bagi menggantikan kenderaan yang sudah lama sekaligus dapat menjimatkan kos penyelenggaraan yang tinggi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalal berkata, pembelian kereta baharu termasuk 10 kenderaan utiliti sukan (SUV) yang tular di media sosial baru-baru ini menggunakan bajet pentadbiran kerajaan negeri Terengganu.

Menurutnya, penggunaan kenderaan rasmi milik kerajaan adalah terlalu tinggi menyebabkan kos penyelenggaraannya juga agak membebankan.

“Setakat ini semua kenderaan baharu seperti mana yang tular (yang didakwa akan digunakan untuk Menteri Besar dan barisan Exco di Terengganu) itu belum lagi digunakan.

“Pembelian kenderaan baharu itu tidak perlu dipolitikkan kerana diluluskan melalui bajet pentadbiran kerajaan negeri tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Bilik Gerakan Bencana negeri (BGBN) di sini, hari ini.

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai pembelian kenderaan baharu oleh kerajaan negeri Terengganu dan didakwa akan menjadi kegunaan rasmi Menteri Besar dan barisan Exco yang lain.

Susulan itu, banyak pihak mempersoalkan sama ada pembelian itu adalah satu keperluan mendesak dalam situasi kewangan negeri tidak begitu mencukupi ketika ini.

Mengulas lanjut, Tengku Farok Hussin berkata, pembelian kenderaan rasmi baharu itu tidak menyalahi peraturan kerana peruntukan diluluskan kerajaan setelah diambil kira dalam pembentangan belajawan 2023 untuk perancangan pembelian kenderaan.

“Kerajaan negeri juga meluluskan pembelian kenderaan pacuan empat roda kepada Jabatan Perhutanan negeri untuk kegunaan mereka.

“Namun, pembelian itu tidak pula dipersoalkan oleh mana-mana pihak termasuk pemimpin politik kerana ia memang prosedur biasa dalam menggantikan kenderaan yang sudah uzur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya