Belanjawan Perlis: Diskaun 75 peratus bagi denda pelanggaran syarat tanah - Utusan Malaysia

Belanjawan Perlis: Diskaun 75 peratus bagi denda pelanggaran syarat tanah

MOHD Shukri Ramli membentangkan Belanjawan 2024 Negeri Perlis di Kompleks DUN, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 75 peratus bagi kadar denda pelanggaran syarat tanah sepanjang tahun 2024.

Kadar pemberian diskaun itu turut diberikan kepada pemilik-pemilik tanah yang sedang membuat bayaran ansuran kelulusan permohonan ubah syarat tanah atas baki tunggakan.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, pemberian tersebut adalah sebagai galakan kepada pemilik-pemilik tanah individu untuk tampil mengemukakan permohonan ubah syarat tanah mereka.

“Adalah menjadi harapan kerajaan negeri dengan kelonggaran yang diberikan ini, pemilik-pemilik tanah akan mengambil peluang untuk mengemukakan permohonan ubah syarat dengan kadar segera.

“Semoga hasil yang dijana melalui pemilikan tanah yang mematuhi perundangan ini akan bertambah,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Negeri Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Tambah Mohd. Shukri, kerajaan negeri akan terus melipat gandakan usaha bagi meningkatkan hasil negeri menerusi sumber-sumber baharu termasuklah melalui aktiviti berkaitan pelancongan, kajian atau semakan semula fi dan penambahbaikan peraturan serta perundangan sedia ada.

Katanya, kerajaan negeri dijangka memperolehi tambahan hasil melalui caj/fi dan lain-lain bayaran berkaitan dengan penggunaan kawasan Taman Awam Negeri berikutan pewartaan Peraturan-Peraturan Taman Awam Negeri (Fi) melibatkan Pusat Kecemerlangan Mempelam Harumanis, Taman Buah-Buahan Eksotik dan Taman Agrovet.

“Selain itu, kerajaan negeri sedang menggubal Peraturan-Peraturan Berkaitan Sumber Air Negeri Perlis yang membuka ruang untuk peningkatan hasil buat kerajaan negeri,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri juga memperuntukkan sejumlah RM7.84 juta bagi pemberian bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang akan memberi manfaat kepada lebih 2,600 penerima.

Beliau berkata, kadar Bantuan Am itu akan dinaikkan sehingga 100 peratus dan menjadikan jumlah diterima adalah antara RM200 hingga RM400 sebulan.

“Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) juga memberi kelulusan pemberian tambahan sebanyak RM400 seorang buat semua penerima Bantuan Am JKM sedia ada.

“Ini bermakna, jumlah maksimum yang akan diterima oleh penerima Bantuan Am adalah RM800 sebulan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya