Bela 24 kucing, rumah tak pernah ada 'bau' - Utusan Malaysia

Bela 24 kucing, rumah tak pernah ada ‘bau’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYA tak boleh melihat kucing yang kesakitan, kelaparan atau terbiar di jalanan. Selagi boleh dan mampu, saya akan cuba selamatkan.”

Itu pengakuan jujur, Elmanda Zuhairy, 35. Kecintaan dan kasih sayang terhadap haiwan bernama kucing terlalu menebal sehingga dia membela 24 kucing di rumah.

Berkongsi punca membela si bulus, jurusolek ini berkata, semuanya bermula selepas suaminya menyatakan keinginan untuk memiliki kucing bagi memecah tembok kesunyian di rumah.

“Bila bela kucing, ia seperti menjadi peneman kita di rumah. Asalnya ada seekor kucing ini memang kerap mengandung dan akhirnya beranak-pinak.

“Pernah juga saya terjumpa anak kucing yang bercorak Marble. Masa itu, badannya kurus dan berada dalam kelaparan. Saya ambil dan bela di rumah. Ada juga anak kucing lain saya ambil dalam lima ekor termasuk ibunya sekali.

“Ikutkan sejak 11 tahun lalu, saya memang suka ambil kucing yang terbiar di jalanan. Bersilih ganti, ada yang sudah mati dan masih hidup yang sudah mencecah usia 10 tahun,” katanya kepada Seri.

TAK RASA BEBAN

Selepas berpindah ke Cyberjaya, Elmanda berkata, dia kerap menemui kucing dalam pelbagai kondisi.

Jelasnya, seperti suratan Tuhan yang melorongkan dirinya untuk menyelamatkan makhluk kesayangan Nabi Muhammad SAW ini.

“Saya selalu terjumpa kucing yang kemalangan, ada masih hidup lagi dalam keadaan nyawa-nyawa ikan, ada yang lumpuh serta diserang virus parvo yang boleh mengakibatkan kematian.

“Ada juga kucing yang dijangkiti Covid-19 serta menghidap HIV akibat seks rambang,” katanya yang menyertai Suara Haiwan Malaysia iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memfokuskan terhadap usaha menyelamatkan kucing.

Wanita ini tidak pernah merasakan satu bebanan besar walaupun perlu menanggung kos sebanyak RM2,000 sebulan bagi pembelian makanan serta keperluan lain.

Kongsinya, dia sentiasa meletakkan kepercayaan tinggi terhadap konsep berkongsi rezeki dan berbuat ihsan terhadap binatang.

“Setiap bulan saya akan bawa kucing menjalani rawatan di klinik veterinar, suntik vaksin dan ubat kutu.

“Selalunya saya beli dalam 20 kilogram (kg) makanan dan 10 beg pasir untuk kucing di rumah.

“Macam-macam tabiat dan gelagat, ada kucing yang hanya makan ayam sahaja, ada pula yang semua jenis makanan boleh ambil,” katanya yang memiliki kucing daripada pelbagai jenis baka seperti British Shorthair, Marble dan kucing kampung.

TAK BOLEH BERENGGANG

Mengenai rutin harian, Elmanda berkata, dia sudah mendisiplinkan kesemua kucing yang dibela untuk bersarapan secara beramai-ramai usai waktu Subuh.

Kongsinya, dia juga menyediakan sebuah bilik khas bagi menempatkan ruang yang lebih selesa untuk mereka berehat serta memberi kebebasan untuk mereka berkeliaran dalam rumah.

Dijaga seperti anak sendiri membuatkan hubungan antara mereka kian rapat dan akrab. Kongsinya, susah baginya untuk berenggang terlalu lama.

“Kalau balik kampung tak boleh lama-lama sebab nanti rindukan mereka. Mereka ini sudah seperti anak sendiri. Setiap kali Hari Raya, saya akan belikan baju untuk mereka.

“Bela kucing ini memang satu terapi hilangkan stres. Bayangkan kita penat-penat kerja, balik dapat pegang dan dengar bunyi suara mereka membuatkan saya rasa tenang. Hilang segala masalah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya