PUTRAJAYA: Seorang bekas pengawal keselamatan terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikannya dengan hukuman penjara 33 tahun kerana membunuh seorang pelajar perempuan tingkatan lima yang juga kekasihnya, lapan tahun lalu.
Gadis berusia 17 tahun itu turut dirogol sebelum dibunuh dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Teluk Kumbar, Pulau Pinang beberapa hari sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2015.
Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah yang bersidang bersama-sama Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Abu Bakar Jais turut memerintahkan Tarmizi Yaakob, 28, dikenakan hukuman 12 kali sebatan.
Mereka memutuskan demikian secara sebulat suara dan memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 25 Oktober 2015. Ini bermakna pemuda itu telah menjalani hukuman penjara selama lapan tahun dua bulan.
Panel itu membenarkan rayuan akhir Tarmizi terhadap hukuman agar mahkamah mengguna pakai Akta Pemansuhan Hukuman Mati 2023 ketika mempertimbang hukuman terhadapnya.
Pada 28 Mac 2019, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mensabit dan menjatuhkan hukuman mati terhadapnya kerana membunuh mangsa di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Perda, Teluk Kumbar antara pukul 7.30 pagi dan 7.30 malam, pada 25 Oktober 2015.
Bekas pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah di Bayan Lepas itu turut dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan kerana merogol mangsa di tempat kejadian iaitu rumah keluarga gadis itu pada pukul 7.30 pagi, sebelum membunuhnya.
Pada prosiding hari ini, peguam Azizul Shariman Mat Yusoff yang mewakili Tarmizi memaklumkan, anak guamnya telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 15 Ogos lalu supaya mahkamah mempertimbang hukuman di bawah akta berkenaan.
Peguam bela berkata, perayu menggugurkan rayuan terhadap sabitan dan hanya merayu terhadap hukuman mati bagi kesalahan membunuh. Azizul Shariman yang dibantu oleh Nur’ain Shahiera Khalid berkata, Tarmizi juga tidak meneruskan rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan bagi kesalahan merogol mangsa.
Sehubungan itu, panel berkenaan mengekalkan sabitan terhadap kesalahan membunuh dan merogol pelajar berkenan serta mengekalkan hukuman penjara dan sebatan kerana merogol mangsa.
Dalam rayuan itu, Azizul Shariman turut memohon mahkamah menggantikan hukuman penjara di antara 30 tahun dan 40 tahun serta 12 kali sebatan kerana ketika kejadian, perayu dikategorikan sebagai pesalah muda kerana berumur di bawah 21 tahun.
Beliau berhujah, laporan psikiatri menunjukkan Tarmizi mempunyai rekod pengambilan dadah kanabis dan eramin 5 sejak berusia 17 tahun meskipun disahkan berada dalam keadaan waras ketika kejadian.
“Perayu juga mengalami terencat akal yang minimum dan perbuatannya adalah di bawah pengaruh dadah, ditambah pula dengan faktor kehilangan ibu ketika berusia 15 tahun.
“Perayu tidak mampu menahan perasaan marah selepas seorang rakan menunjukkan rakaman video kekasih yang ingin dikahwininya berlaku curang dan keluar dengan lelaki lain,” hujah peguam bela.
Sehubungan itu, pihak pembelaan memohon anak guam mereka diberi peluang kedua untuk membina hidup baharu apabila keluar dari penjara kelak. Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Noorhisham Mohd. Jaafar berhujah agar perayu dikenakan hukuman tidak kurang 35 tahun kerana senjata pisau digunakan untuk membunuh mangsa manakala punca kematian akibat luka kelaran pada leher.
Hujah pendakwaan, hasil pemeriksaan perubatan menunjukkan terdapat 18 kesan kecederaan akibat luka, pendarahan, lebam dan melecet serta kesan koyakan pada selaput dara akibat dirogol.
Menurut laporan media, mayat mangsa ditemukan dengan kesan kelar di leher dalam keadaan terbaring dan berselimut di atas katil oleh bapanya yang pulang ke rumah pada jam 7.30 malam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zakaria Ahmad ketika itu dilaporkan berkata, suspek mengakui kepada polis yang dia telah merogol sebelum membunuh mangsa akibat cemburu. – UTUSAN