Bekas pegawai bank didakwa lagi atas kesalahan tipu pelaburan

Bekas pegawai bank didakwa lagi atas kesalahan tipu pelaburan tidak wujud

BEKAS pegawai bank (tengah) didakwa atas empat pertuduhan penipuan membabitkan pelaburan berjumlah RM17,350 di Mahkamah Majistret Kampar. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Seorang bekas pegawai bank sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan penipuan membabitkan pelaburan tidak wujud berjumlah RM17,350

Tertuduh, M. Patmanathan, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret A. Hafiizh Abu Bakar.

Mengikut tiga kertas pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa telah memperdaya M. Renganathan, 51; K. Puvanaiswary, 57, dan S, Saravanan, 51, untuk menyertai pelaburan Maybank Affin Hwang Bond.

Perbuatan tertuduh itu telah mendorong mereka menyerahkan wang tunai masing-masing berjumlah RM7,300, RM1,550 dan RM3,500.

Kesalahan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan itu dilakukan tertuduh di Pejabat Maybank Cawangan Kampar dalam daerah Kinta antara Mac 2019 dan Jun 2022.

Bagi tiga kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana memperdaya N. Rajasuari, 66, untuk menyerahkan wang RM5,000 bagi menyertai pelaburan Affin Hwang Bond yang tidak wujud pada 13 Januari 2023 di lokasi sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun dan dengan sebat serta denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Esther Jacyntha manakala tertuduh diwakili peguam, Manal Hayati Mohd. Arif.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,500 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 5 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Pada 12 Julai lalu, tertuduh juga mengaku bersalah di Mahkamah Majistret sama atas dua pertuduhan penipuan membabitkan pelaburan berjumlah RM110,300. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN