Bekas ketua kumpulan `Wolf Pack' diperintah bela diri tahun depan

Bekas ketua kumpulan `Wolf Pack’ diperintah bela diri tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas ketua kumpulan ‘Wolf Pack’, yang didakwa menjadi dalang rancangan pembunuhan empat individu berprofil tinggi dan serangan sebuah kuil di Petaling Jaya empat tahun lalu, diperintah oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini membela diri terhadap lapan pertuduhan berkaitan keganasan.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin mengarahkan Mahadi Mamat, 38, membela diri selama tujuh hari pada 14 dan 18 April manakala tarikh-tarikh lain ialah pada 27, 28, 29 dan 30 Mei serta 24 Jun 2024.

Beliau memutuskan demikian selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap lelaki itu bagi setiap pertuduhan yang dihadapinya.

“Tertuduh dipanggil membela diri selepas mahkamah meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan serta pembelaan melalui pemeriksaan balas terhadap saksi-saksi pendakwaan dan menilai keseluruhan keterangan pendakwaan secara maksimum.

“Mahkamah juga berpendapat tiada sebarang kecacatan pada pertuduhan-pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya. Tertuduh diperintah membela diri dan diberikan tiga pilihan mengemukakan keterangannya,” ujar Hakim Noorin.

Kes itu dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nazran Mohd. Sham, Nur Ainaa Ridzwan, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim serta Low Qin Hui manakala peguam Farida Mohammad dan Khairul Naim Rafidi mewakili tertuduh.

Pada prosiding har ini, Farida memaklumkan pihak pembelaan akan mengemukakan keterangan lima saksi pada perbicaraan kelak.

Seramai 24 saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 14 Disember 2021 hingga 20 November lalu.

Bagi kelapan-lapan pertuduhan, Mahadi didakwa melakukan perbuatan itu di antara pukul 5.45 petang pada 7 Januari 2019 dan 9.48 malam, 5 Mei 2019 di Kampung Teris, Hulu Terengganu, Terengganu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mahadi didakwa mencari sokongan terhadap suatu perbuatan pengganas dengan mengancam untuk menyerang Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya.

Tertuduh turut didakwa mengancam untuk membunuh empat individu tempatan berprofil tinggi dan kedua-dua rancangan itu dibuat melalui kumpulan WhatsApp ‘Sejati Sejiwa’.

Bagi setiap tuduhan, Mahadi didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Mahadi didakwa memberi latihan penggunaan senjata api kepada anggota kumpulan WhatsApp ‘Sejati Sejiwa’ sebagai persediaan melakukan suatu perbuatan pengganas di bawah Seksyen 130F(a).

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa memberi arahan untuk melakukan perbuatan pengganas kepada anggota kumpulan itu dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130F(b).

Pertuduhan kelima dan keenam, Mahadi didakwa mendapatkan enam butir ‘pipe bom’ dan sepucuk pistol semi-automatik CZ 75 B serta 15 butir peluru jenis ‘Luger 9mm’ untuk melaksanakan keganasan.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 130JD (1) dan membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan ketujuh, lelaki itu didakwa merekrut beberapa individu menyertai kumpulan ‘Sejati Sejiwa’ untuk melakukan perbuatan pengganas di bawah Seksyen 130E.

Berdasarkan pertuduhan kelapan, Mahadi didakwa memilik item-item yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh dan perbuatan keganasan di dalam sebuah telefon bimbit.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, dan denda, dan boleh dilucuthak mana-mana item berkenaan, jika sabit kesalahan.

Pada 29 Mei 2019, Mahadi didakwa atas lapan pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya