Bekas ejen unit amanah dipenjara sehari, denda RM10,000

Bekas ejen unit amanah dipenjara sehari, denda RM10,000

NADIHAH Nawi tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi keputusan hukuman atas kesalahan menerima wang pelaburan tanpa lesen. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 terhadap seorang bekas ejen unit amanah atas kesalahan menerima wang pelaburan RM219,000 tanpa lesen, tiga tahun lalu.

Hakim Datin Sabariah Othman turut memerintahkan Nadihah Nawi, 32, dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Ibu enam anak itu menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan alternatif hari ini dan mahkamah mensabitkannya atas pertuduhan selepas mendengar penghujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Nadihah didakwa menerima wang deposit itu daripada seorang lelaki tanpa lesen yang sah yang diberikan oleh Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 pada 24 Januari 2020 di sebuah restoran di Jalan Ipoh, Sentul di sini.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Menurut fakta kes, lelaki berkenaan dijanjikan pulangan minimum 15 peratus setahun jika melabur dalam sebuah syarikat pengurusan pelaburan dan seterusnya membuat bayaran dalam akaun bank milik tertuduh secara berperingkat.

Bagaimanapun, hasil semakan lelaki itu dengan syarikat berkenaan mendapati wang pelaburan itu tidak wujud menyebabkannya membuat laporan polis.

Hasil semakan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) mengesahkan tertuduh tidak berdaftar sebagai ejen pelaburan selain tidak mempunyai lesen untuk membuat kutipan wang daripada orang awam untuk tujuan pelaburan.

Siasatan turut menunjukkan tertuduh telah menyalahgunakan wang milik lelaki itu yang juga pengadu kes untuk tujuan peribadi.

Nadihah ditangkap pada 5 Oktober 2022 di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan lanjut.

Pada prosiding itu, peguam Azrul Hasyimi Mohammad yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan denda minimum kerana guamnya insaf dan berjanji tidak akan mengulanginya.

Peguam itu memohon mahkamah mengambil kira anak guamnya tidak lagi bekerja dan mempunyai enam orang anak serta hanya bergantung kepada suaminya yang merupakan ejen menjual kereta secara sambilan.

“Anak bongsu tertuduh berumur 11 bulan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang kerana dijangkiti Covid-19 tahap empat serta mengalami pneumonia,” kata peguam tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd. Razak memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

“Saya mohon mahkamah mengambil kira kerugian yang dialami mangsa adalah banyak iaitu RM219,000 dan wang tersebut tidak dapat dikembalikan. Mahkamah juga perlu mengambil kira kesalahan komersial kini kerap berlaku dan kes tersebut meningkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN