Bekas DSP bebas kes AMLA, penjara 10 tahun dan denda RM42

Bekas DSP bebas kes AMLA, penjara 10 tahun dan denda RM42 juta diketepikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang bekas pegawai kanan polis dilepas dan dibebaskan daripada sabitan dan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM42 juta atas lapan kesalahan pengubahan wang haram selepas Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan semakannya.

Bekas Deputi Superintendan Mohd. Ismail Syed Merah, 60, dibebaskan daripada Penjara Kajang hari ini selepas hukuman penjara dan denda itu diketepikan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor pada 2019 yang mendapatinya tidak bersalah atas kesemua lapan pertuduhan.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin turut mengetepikan keputusan panel terdahulu yang menaikkan hukuman penjara daripada empat tahun kepada 10 tahun dan mendendanya sebanyak RM42 juta atau 48 bulan penjara jika gagal membayarnya.

Panel berkenaan bagaimanapun memerintahkan wang RM3.35 juta yang dirampas daripada Mohd. Ismail, dilucuthakkan kepada kerajaan kerana ia adalah hasil daripada aktiviti haram.

Mahkamah berpendapat, Seksyen 55 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) membolehkan pihak ketiga yang berniat baik (bona fide) memfailkan tuntutan untuk mendapatkan semula wang berkenaan.

Mohd. Ismail memohon mahkamah itu menyemak keputusan panel terdahulu yang menolak rayuan akhirnya pada 22 Mac 2022.

Hakim Datuk Has Zanah Mehat yang mengetuai panel bersidang ketika itu membenarkan rayuan silang pendakwa raya dan menambah hukuman penjara daripada empat tahun kepada 10 tahun.

Pada 2020 pula, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pendakwa raya dan mensabitkannya terhadap lapan pertuduhan serta memerintahkannya menjalani hukuman penjara empat tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar dan Mohd. Fairuz Johari manakala peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid dan Datuk Abu Bakar Isa Rahmat mewakili Mohd.

Sementara itu, Wan Azmir memberitahu pihak media, anak guamnya yang bersara pada Mei lalu layak mendapat pencen dan tunggakan gaji serta elaun ketika berkhidmat dalam pasukan polis.

Mohd Ismail didakwa atas lima pertuduhan menggunakan wang yang diperoleh daripada aktiviti menyalahi undang-undang, masing-masing melibatkan RM10,143.37; RM40,000; RM6,283.09; RM993,716.91 dan RM500,000.

Wang itu didakwa digunakan untuk membeli dan menambah pelaburan dalam Pelan Perlindungan Insurans Takafullife dan Pelan Takafulink yang didaftarkan di bawah nama anak perempuannya, Nur Aqillah Mohd Ismail.

Dua lagi pertuduhan ialah melakukan pengubahan wang haram membabitkan RM499,620 dan RM29,950, menggunakan akaun pihak ketiga milik seorang Tan Kim Tee.

Mohd. Ismail menghadapi pertuduhan kelapan memiliki RM1.27 juta dan 8,178,000 rupiah di rumahnya yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Mohd Ismail dituduh melakukan kesalahan itu di Bangunan MAA Takaful, Jalan Tun Razak, Johor Bahru dan di dua premis bank iaitu RHB dan CIMB di Jalan Rahmat dekat Batu Pahat, Johor di antara 4 September 2014 dan 28 Disember 2015.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN